MKN HADKAN JUMLAH TAHANAN DI PTS SABAHMKN HADKAN JUMLAH TAHANAN DI PTS SABAH
top of page
  • nabalunews

MKN HADKAN JUMLAH TAHANAN DI PTS SABAH



4 Nov 2020

KOTA KINABALU: Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sabah telah mengehadkan jumlah tahanan di semua Pusat Tahanan Sementara (PTS) di negeri ini sebagai usaha mengawal jangkitan COVID-19 dalam kalangan tahanan.

Pengarahnya Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof berkata jumlah tahanan di kesemua empat PTS di Sabah telah dikurangkan di bawah 5,000 orang berbanding kapasiti sebanyak 6,000 di semua pusat tahanan itu sejak Mac lepas.

"Tetapi kita tidak boleh elak (kemasukan tahanan) kerana dari segi perundangan, penjara tidak boleh simpan banduan yang sudah bebas hukuman khususnya pendatang tanpa izin.

"PTS terpaksa menerima tahanan yang tidak mempunyai dokumen di bawah Akta Imigresen untuk tujuan diusir (dari Sabah) dan akan ditempatkan di PTS dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan di PTS Kota Kinabalu di Manggatal, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Habibi Majinji.

Sharifah Sitti Saleha berkata pihaknya juga telah mengadakan rundingan dengan kedutaan negara asal tahanan untuk menerima warganegara mereka yang disahkan bebas daripada COVID-19.

Sementara itu, Habibi berkata PTS Kota Kinabalu yang diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula semalam sehingga 16 Nov ini, tidak perlu dipasang dengan kawat berduri kerana ia telah dikelilingi pagar.

"Tembok di kawasan ini telah diperbaiki, kawalan dan logistik telah ditambah baik dan kita yakin, sukar bagi tahanan di sini untuk melarikan diri," katanya.

Semalam, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah melaporkan jumlah kumulatif kes COVID-19 di Sabah ialah sebanyak 16,873 kes dan kluster Rumah Merah di PTS Kota Kinabalu, Manggatal yang menempatkan 1,707 tahanan mencatatkan 404 kes manakala di PTS Tawau sebanyak 106 kes. – Bernama

bottom of page