Mohammad Norfazilan Kekal Pengerusi JKKK Kampung Tegudon Sesi 2026–2030
- nabalunews
- 2 hours ago
- 1 min read

12 Februari 2026
KOTA BELUD: Pemilihan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tegudon, Mukim Wariu bagi sesi 2026–2030 berlangsung dengan lancar dari jam 9.00 pagi hingga 11.00 pagi hari ini.
Proses pemilihan yang diadakan di kampung berkenaan menyaksikan seramai 125 penduduk keluar menunaikan tanggungjawab bagi memilih kepimpinan baharu.
Dalam pertandingan tiga penjuru itu, Mohammad Norfazilan berjaya mengekalkan jawatan sebagai Pengerusi JKKK Kampung Tegudon selepas memperoleh 81 undi. Beliau menewaskan dua pencabar lain, iaitu Jakunis Gindua yang meraih 30 undi dan Rinsiman Salinsing dengan 14 undi.

Proses pengundian dikendalikan oleh Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO), Fandhy Rajin, bersama Pemaju Masyarakat, Elycia, serta Pemaju Mukim, Pinol Timun dari Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat, Pusat Khidmat ADUN N11 Kadamaian. Pemilihan berlangsung dalam suasana tertib dan harmoni dengan kerjasama erat daripada penduduk kampung.
Keputusan tersebut sekali gus memberi mandat baharu kepada Mohammad Norfazilan untuk terus menerajui JKKK Kampung Tegudon bagi tempoh empat tahun akan datang. Beliau dijangka meneruskan agenda pembangunan serta memperkukuh perpaduan komuniti sepanjang sesi 2026 hingga 2030.














