Mohd Khairil tawar enam teras manifesto pembangunan Tulid
- nabalunews
- 2h
- 1 min read

24 November 2025
KOTA KINABALU: Calon Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tulid, Mohd Khairil Abdullah, menawarkan enam teras utama dalam manifestonya sebagai komitmen membawa pembangunan menyeluruh ke kawasan itu.
Katanya, visi beliau adalah untuk membina Tulid yang sejahtera, maju dan berdaya saing melalui kepimpinan bersih berpaksi rakyat, dengan menekankan keutamaan kepada kesejahteraan masyarakat akar umbi.
“Inti pati manifesto saya adalah untuk memajukan ekonomi rakyat, pendidikan, kebajikan, hak anak negeri serta kepimpinan yang telus di Tulid,” katanya.

Beliau berkata, tumpuan diberi terhadap usaha merancakkan ekonomi tempatan melalui peluang pekerjaan berasaskan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), koperasi serta sektor pertanian dan produk desa, selain menarik pelaburan kecil tanpa tidak menjejaskan hak anak negeri.
Dalam manifesto keduanya, Mohd Khairil bertekad menaik taraf infrastruktur penting termasuk jalan kebun, sistem air, elektrik, internet berkelajuan tinggi dan kemudahan awam lain.
Aspek pendidikan dan pembangunan belia turut menjadi fokus utama Mohd Khairil dengan cadangan menambah sekolah atau asrama, menyediakan biasiswa untuk golongan B40 serta membangunkan pusat belia yang memberi ruang kepada kemahiran dan aktiviti sukan.
Bagi manifesto keempat iaitu memperkukuh aspek kesihatan dan kebajikan penduduk di seluruh Tulid, beliau menekankan keperluan klinik desa yang lebih lengkap, bantuan untuk golongan rentan dan pelaksanaan program kesihatan komuniti.
Dalam masa sama, beliau juga mahu memperjuangkan Tanah Hak Adat Anak Negeri (NCR), selain memastikan kuota pekerjaan untuk penduduk tempatan dan mengangkat suara penduduk dalam rancangan pembangunan.
Sementara bagi manifesto terakhir, Mohd Khairil mahu membentuk tadbir urus bersih dengan menolak politik wang dan memastikan pengurusan dana dilakukan secara telus.


















Comments