PM umum cuti tambahan sehari sempena Aidilfitri
- nabalunews
- 2 hours ago
- 1 min read

15 Mac 2026
KOTA KINABALU: Kerajaan mengumumkan cuti tambahan sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini sebagai penghargaan kepada rakyat yang bekerja keras sepanjang bulan Ramadan.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, cuti tambahan itu diberikan bergantung kepada tarikh pengisytiharan 1 Syawal kelak.
“Cuti pada Isnin, 23 Mac diberikan jika 1 Syawal jatuh pada hari Jumaat, manakala cuti sehari lebih awal iaitu pada Jumaat, 20 Mac jika 1 Syawal disambut pada Sabtu.
“Sama ada Aidilfitri disambut pada Jumaat atau Sabtu jangan bimbang, kita beri cuti tambahan hari raya,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan (HPK) 2026 di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.
Anwar berkata, keputusan kerajaan mengumumkan pemberian cuti tambahan itu lebih awal bertujuan memudahkan rakyat di seluruh negara merancang perjalanan masing-masing.
“Kita beri cuti Aidilfitri ini kerana lihat semua sudah kerja kuat pada bulan Ramadan ini, raikan Aidilfitri ini dengan penuh ceria bersama dengan keluarga tercinta,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya berbelanja secara berhemah menjelang Aidilfitri dan tidak terpengaruh dengan budaya membeli secara berlebihan.
Menurutnya, pengguna perlu membuat pilihan bijak ketika membeli barangan keperluan dan tidak terikut dengan sentimen atau tarikan kemewahan semata-mata.















Comments