KESUMA, HRD Corp, MyKasih Santuni 355 KIR Mangsa Kebakaran Kg. Bahagia
- nabalunews
- Jun 15
- 2 min read

15 Jun 2026
SANDAKAN : Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Human Resource Development Corporation (HRD Corp) serta MyKasih menyantuni seramai 355 Ketua Isi Rumah (KIR) mangsa kebakaran Kg. Bahagia.
Timbalan Menteri KESUMA, Datuk Khairul Firdaus Akhbar Khan berkata sumbangan berupa baucar RM300 serta RM500 yang dikreditkan ke dalam aplikasi MyKasih tersebut merupakan inisiatif bagi meringankan beban kewangan mangsa kebakaran selepas insiden kebakaran 19 April yang lalu.
"Selama saya di Batu Sapi, Kg. Bahagia cukup istimewa kerana begitu banyak sumbangan yang disalurkan bukan sahaja daripada pihak kerajaan, malah daripada pihak-pihak Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Badan Bukan Kerajaan (NGO), individu perseorangan dan ramai lagi.
"Ini adalah satu rezeki yang luar biasa buat penduduk Kg. Bahagia, kerana masih ramai di luar sana yang mengambil berat dan mempunyai rasa belas kasihan buat mangsa kebakaran demi memastikan semua mangsa yang terlibat dapat meneruskan kehidupan seharian," katanya semasa berucap pada Majlis Jalinan Kasih HRD Corporation di Dewan PPR Batu Sapi di sini, pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau menyambut baik usaha kerajaan negeri untuk menempatkan semula mangsa-mangsa kebakaran di Kg. Bahagia.
"Setiap lot akan disediakan sekitar 4,000 kaki persegi serta beberapa sumbangan untuk memastikan mangsa kebakaran dapat mendirikan semula rumah di Kg. Bahagia.
"Cuma ada kisah sedih sedikit, bukan semua rumah dapat ditempatkan di Kg. Bahagia, kerana saiz yang disediakan cukup besar dan tidak memuatkan semua rumah yang terjejas.
"Yang paling penting, pembinaan semula Kg. Bahagia akan diisi semula kemudahan asas seperti air, elektrik, jambatan yang tersusun serta pembuangan sisa atau sampah yang sistematik agar masyarakat dapat hidup dalam keadaan yang selesa," ujarnya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih buat semua yang terlibat dalam menyantuni semua mangsa kebakaran Kg. Bahagia sejak dari awal insiden tersebut berlaku antaranya jabatan Kerajaan, NGO, GLC serta anggota keselamatan yang terlibat.
Hadir sama Ketua Pegawai Sumber Manusia (HRD Corp), Parrish Ersalle; Pengarah Eksekutif, Pengurusan Kewangan Sektor Huluan mewakili Dialog Group Berhad, Peter Majid; Wakil Pengurus Besar Yayasan MyKasih, Puvanesh Rao A/L Ratna; Penolong Pengarah Bahagian Pejabat Kebajikan Sandakan, Ansharey Matarsad dan Ketua Kampung, Kg Bahagia, Sharif Hasim Titing./Penerangan















Comments