top of page

Program Mengenang Negarawan Tun Fuad Stephens angkat legasi Huguan Siou

  • nabalunews
  • 14 hours ago
  • 2 min read

15 Jun 2026


KOTA KINABALU: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menerusi Arkib Negara Malaysia menganjurkan Program Mengenang Negarawan Tun Fuad Stephens bertemakan “Legasi Huguan Siou Membina Negara Bangsa” sempena Sambutan Minggu Perpaduan 2026 Peringkat Kebangsaan, di sini hari ini.


Program berkenaan dirasmikan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang sebagai usaha memelihara memori sejarah negara serta menghargai jasa tokoh-tokoh yang telah mencorakkan perjalanan pembinaan negara bangsa.



Menurut beliau, program itu turut mengimbau sejarah dan mengangkat sumbangan Allahyarham Tun Mohd Fuad Stephens yang diiktiraf sebagai arkitek perpaduan, pemimpin rakyat dan negarawan yang meletakkan asas penting kepada pembentukan Malaysia yang bersatu dalam kepelbagaian.


Aaron berkata, Tun Fuad Stephens sebagai Huguan Siou atau Pemimpin Agung bukan sahaja dihormati oleh masyarakat Kadazandusun, malah berperanan sebagai jambatan perpaduan yang menyatukan pelbagai kaum di Sabah serta menghubungkan negeri itu dengan Semenanjung Malaysia dan Sarawak.



“Gelaran Huguan Siou melambangkan kepercayaan tinggi masyarakat terhadap kepimpinan beliau yang berteraskan integriti, keberanian dan keikhlasan dalam membina keharmonian tanpa mengira latar belakang kaum, budaya mahupun agama.


“Perjuangan Tun Fuad Stephens dalam pembentukan Malaysia, pembangunan Sabah dan penyatuan rakyat pelbagai kaum telah menjadi asas penting kepada proses pembinaan negara bangsa.



“Sumbangan beliau kekal sebagai legasi yang menegaskan bahawa kekuatan sesebuah negara lahir daripada perpaduan, sikap saling menghormati dan kesediaan untuk bersatu demi masa depan bersama,” katanya dalam ucapan perasmian program berkenaan.


Beliau turut menggesa semua pihak agar terus menghayati dan meneruskan legasi Huguan Siou dalam kehidupan seharian supaya semangat perjuangan Tun Fuad Stephens terus subur dalam jiwa setiap rakyat Malaysia.


Pada masa sama, Aaron menyeru masyarakat untuk melawat Memorial Negarawan yang terletak di Jalan Dato’ Onn, Kuala Lumpur bagi mengenali dengan lebih dekat sejarah dan sumbangan tokoh berkenaan.


Katanya, memorial itu menempatkan pelbagai koleksi serta bahan pameran berkaitan Tun Fuad Stephens yang dapat dijadikan sumber rujukan dan inspirasi dalam menghayati nilai kepimpinan, ketokohan dan kewibawaan seorang wira negara.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page