Mohon Bantuan Selamatkan Adik Mangsa Sindiket Penipuan
- nabalunews
- 2 days ago
- 2 min read

27 Mei 2025
KOTA KINABALU: Seorang wanita terpaksa mendapatkan bantuan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) bagi misi menyelamat adiknya yang dilaporkan menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Kemboja.
Dia yang hanya mahu dikenali sebagai How, 28, berkata, mereka terkejut apabila mengetahui adik lelakinya yang sebelum ini bekerja di Semenanjung Malaysia kini berada di Kemboja dan menjadi mangsa sindiket berkenaan.
Katanya, dia hanya mengetahui mengenai perkara itu selepas dimaklumkan oleh bekas majikan adiknya yang berusia 23 tahun mendakwa dihubungi menerusi aplikasi Telegram.

"Bekas majikan juga sempat meminta adik saya membuat satu video sebagai bukti dan berkongsi lokasi keberadaannya ketika ini.
“Sebaik mengetahui perkara ini, saya segera pulang ke Sandakan untuk berbincang dengan ahli keluarga lain selain cuba mencari maklumat lanjut,” katanya pada sidang akhbar di pejabat MHO, di sini, hari ini.
Menurutnya, dia akhirnya mendapat sedikit maklumat sebaik memeriksa tablet milik adiknya yang ditinggalkan di rumah.
"Adik saya ada menghantar mesej kecemasan beberapa minggu lalu. Selepas itu, kami cuba berhubung melalui Telegram dan dia memberitahu pernah cuba melarikan diri tetapi tidak berjaya dan akhirnya dipukul.
"Tetapi dia tidak maklumkan dengan terperinci kerana mungkin tidak mahu kami risau. Cuma ketika ini, dia mahu pulang semula ke Malaysia," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi MHO Sabah, Kapten (B) Jerry Jaimeh berkata, setakat ini keluarga mangsa belum dimaklumkan tentang sebarang tuntutan wang tebusan.
Katanya, pihaknya percaya mangsa mungkin terperdaya bersama beberapa individu lain dengan tawaran kerja di luar negara.
"Mereka mungkin diminta melakukan kerja 'scammer' dan jika gagal, mereka akan dipukul. Malah, ada yang pernah cuba melarikan diri tetapi tidak berjaya dan menyebabkan mereka dibelasah," katanya.
Sehubungan itu, MHO Sabah akan bekerjasama dengan MHO Pusat untuk mendapatkan maklumat lebih terperinci mengenai mangsa serta berusaha membawa pulang mangsa ke negara ini dengan selamat.
Comments