Petronas jamin bekalan bahan api mencukupi hingga akhir Jun
- nabalunews
- Apr 15
- 1 min read

15 April 2026
KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengesahkan bekalan bahan api di seluruh rangkaian stesennya di seluruh negara adalah terjamin sehingga akhir Jun 2026, lanjutan daripada unjuran hingga akhir Mei yang dilaporkan sebelum ini.
Dalam kenyataannya hari ini, Petronas berkata syarikat itu akan terus menguruskan rantaian bekalan secara aktif bagi memastikan stok mencukupi di semua stesen susulan krisis tenaga global semasa akibat konflik di Asia Barat.
“Petronas membekalkan kira-kira 50 peratus keperluan bahan api negara melalui anak syarikat tersenarainya, Petronas Dagangan Berhad.
“Jumlah selebihnya dibekalkan oleh syarikat minyak lain yang beroperasi di Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, Petronas menegaskan komitmennya untuk memastikan bekalan bahan api yang stabil dan boleh dipercayai kepada semua rakyat Malaysia.
Syarikat minyak dan gas negara itu turut menyarankan orang ramai membeli bahan api secara berhemah mengikut keperluan harian dan mengelakkan sebarang aktiviti penimbunan atau pembelian panik.
“Penggunaan secara bertanggungjawab akan memastikan semua pengguna mendapat akses bekalan berkenaan secara berterusan,” katanya.















Comments