top of page
  • Wartawan Nabalu News

MOT beri subsidi tiket penerbangan ke Sabah, Sarawak, Labuan 3 hari sebelum perayaan

15 Disember 2023

Oleh Wartawan Nabalu News 


KUALA LUMPUR: Orang ramai yang ingin pulang ke Sabah, Sarawak dan Labuan tiga hari sebelum perayaan kini boleh menikmati subsidi tiket penerbangan kelas ekonomi yang melebihi RM599 sehala dari Semenanjung.


Ini adalah hasil daripada pelaksanaan bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) yang bertujuan untuk mengawal kenaikan harga penerbangan yang tidak munasabah pada waktu puncak.


Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, subsidi ini bermula untuk Krismas tahun ini dan akan berterusan pada tahun depan bagi Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan, Hari Gawai dan Perayaan Krismas.


“Tiket penerbangan yang berharga kurang daripada RM599 bagi laluan-laluan berkenaan akan dijual pada harga asal yang telah ditetapkan oleh syarikat-syarikat penerbangan.


“Manakala bagi tiket penerbangan kelas ekonomi yang melebihi RM599 pula, Kerajaan akan membayar perbezaan harga antara harga asal tiket penerbangan dan harga maksimum tersebut,” katanya pada sidang media di sini hari ini.


Beliau berkata, inisiatif tersebut dipersetujui  menerusi mesyuarat Jemaah Menteri  pada 13 Disember lalu sebagai usaha untuk memudahkan rakyat yang ingin pulang ke kampung halaman.


“Sebelum ini pernah ada isu-isu yang mana pada waktu puncak sebelum waktu perayaan iaitu tiga hari sebelum harga makin meningkat. Itu tempoh kita lihat dari data-data permintaan paling tinggi,” katanya lagi.


Menurut beliau,  inisiatif pembelian tiket penerbangan untuk perayaan Krismas tahun 2023 akan bermula pukul 12.01 tengah malam esok.


Manakala perlaksanaan bagi perayaan-perayaan lain tahun depan bermula pada 1 Januari  2024.


“Harga tiket penerbangan kelas ekonomi sehala yang disubsidikan ini tidak termasuk cukai dan fi. Mulai tarikh tersebut, orang ramai boleh membeli tiket penerbangan melalui laman sesawang syarikat-syarikat penerbangan domestik iaitu AirAsia, Firefly, Malaysia Airlines Berhad dan Batik Air,” tambahnya.


Bagaimanapun,   Anthony berkata, terdapat beberapa terma dan syarat yang ditetapkan menerusi pelaksanaan pemberian subsidi berkenaan termasukah larangan  penukaran tarikh dan penerbangan.


“Tiada pertukaran nama dibenarkan dan tiket penerbangan yang telah dibeli tidak boleh dikembalikan. Dalam hubungan ini, mungkin terdapat beberapa variasi kepada terma dan syarat yang ditambahbaik dan ditawarkan oleh sesetengah syarikat penerbangan,” katanya.

bottom of page