MOTAC Lancar Destinasi Pelancongan Komuniti Kampung Bambangan, Batu Sapi
- nabalunews
- 2 hours ago
- 2 min read

18 Oktober 2025
SANDAKAN: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) hari ini melancarkan Destinasi Pelancongan Berasaskan Komuniti (CoBT) di Kampung Bambangan, Batu Sapi, yang dirasmikan oleh Timbalan Menterinya, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan.
Dalam ucapan perasmian, Khairul Firdaus memuji semangat gotong-royong, perpaduan dan kebersamaan komuniti Kampung Bambangan yang mencerminkan nilai-nilai MADANI seperti kemampanan, kesejahteraan dan hormat dalam memperkasa pelancongan komuniti.
“Kesediaan penduduk menerima pelancong membuktikan komitmen masyarakat tempatan dalam memupuk semangat hospitaliti, kekitaan dan keterangkuman sosial yang menjadi teras pelancongan berasaskan komuniti.
“Bila pelancong datang ke Bambangan, mereka bukan sekadar melihat tempat, tetapi mereka merasai kasih sayang, budaya dan keindahan komuniti Sabah yang sejati,” katanya.
Kampung Bambangan yang merupakan kluster pertama Program Pengalaman Homestay Malaysia (PPHM) di Sandakan, menawarkan pengalaman unik kepada pelancong untuk menyelami gaya hidup masyarakat setempat.
Antara tarikan utama termasuk aktiviti berkelah di Jeti Lagenda, lawatan ke perusahaan ketam lembut, aktiviti memancing di rumah pancing dan pengalaman River Cruise menyusuri paya bakau Hutan Simpan Kabili-Sepilok.
Lokasinya yang berdekatan dengan tarikan popular seperti Sepilok, Rainforest Discovery Centre dan Taman Memorial Sandakan turut menjadikan ia sebahagian daripada pakej pelancongan lengkap di Sandakan.
Sementara itu, menurut MOTAC, Sabah merekodkan pendapatan sebanyak RM15.1 juta melalui PPHM pada tahun 2024, dengan jumlah kehadiran 202,053 pelancong.
Sehingga Ogos tahun ini pula, pendapatan dicatatkan ialah RM13.1 juta dengan jumlah kehadiran pelancong seramai 161,318 orang.
Sabah mempunyai 39 kluster homestay, 135 buah kampung, 33 buah kampungstay, 525 orang peserta dan 7 buah koperasi aktif yang menjadi penggerak utama ekonomi komuniti pelancongan.
Menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, MOTAC akan terus memperkukuh pelancongan berasaskan komuniti selaras dengan nilai Daya Cipta MADANI melalui sokongan latihan, promosi dan pembangunan infrastruktur bagi meningkatkan daya saing sektor pelancongan luar bandar.
Comments