MOTAC terima teguran PM, komited perketat SOP acara
- nabalunews
- Oct 7
- 1 min read

7 Oktober 2025
PUTRAJAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerima teguran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung hidangan minuman keras ketika penganjuran majlis makan malam yang tular, baru-baru ini.
MOTAC dalam satu kenyataan berkata pihaknya mengambil iktibar daripada insiden berkenaan dan akan memastikan setiap pelaksanaan program di bawah seliaannya mematuhi garis panduan serta etika yang telah ditetapkan.
“MOTAC dengan penuh rasa tanggungjawab dan takzim amat mengesali sebarang kekeliruan atau salah faham yang telah menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan rakyat.
“Kementerian akan memastikan agar perkara seumpama ini tidak akan berulang,” menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Dalam pada itu, MOTAC turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri di atas nasihat, teguran membina serta sokongan berterusan terhadap usaha kementerian dalam memperkasa industri pelancongan, seni dan budaya negara.
“Segala kesulitan yang timbul amat dikesali. MOTAC akan terus memperkukuh komunikasi serta memastikan penambahbaikan berterusan dalam pelaksanaan tanggungjawab kepada rakyat dan negara,” tambah kenyataan itu.
Terdahulu, Perdana Menteri menerusi kenyataan di Facebook rasminya menegaskan bahawa dasar kerajaan jelas tidak membenarkan tidak membenarkan minuman keras dihidangkan sama sekali dalam mana-mana acara rasmi kerajaan.
Anwar berkata, amaran keras telah diberikan kepada kementerian itu termasuk menteri terbabit agar tidak mengulangi perkara sama, sambil menegaskan supaya semua pihak di dalam institusi kerajaan, termasuk berjawatan menteri harus lebih peka dan sensitif terhadap peraturan yang ditetapkan.


















Comments