MPN Sabah disusun semula persediaan hadapi PRU-15MPN Sabah disusun semula persediaan hadapi PRU-15
top of page
  • Wartawan Nabalu News

MPN Sabah disusun semula persediaan hadapi PRU-15



9 Jan 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Negeri Sabah menstrukturkan semula pimpinan MPN Sabah bagi memantapkan jentera parti menjelang Pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) yang dijangka diadakan pertengahan tahun ini.


Setiausaha MPN Keadilan Negeri Sabah Mustapha Sakmud berkata, penstrukturan semula itu dibincang lebih awal oleh Biro Politik MPN Negeri dan disahkan sebulat suara dalam Mesyuarat MPN, kelmarin.


“Berdasarkan Perlembagaan Parti, mesyuarat adalah sah dan mencukupi korum walaupun tanpa kehadiran Ketua-ketua Cabang yang cuba memboikot mesyuarat selepas diberi notis lebih awal dengan menyatakan mesyuarat diadakan secara hibrid iaitu kehadiran secara fizikal dan secara maya untuk memberi kemudahan kepada kehadiran ahli-ahli MPN,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Mustapha Sakmud

Mesyuarat dihadiri oleh Ketua-ketua Cabang, Ahli-ahli MPN yang dilantik serta ahli-ahli MPN sedia ada.


Mustapha berkata, pelantikan kepimpinan MPN berdasarkan Fasal 27.4 melalui cadangan Biro Politik dan perundingan dengan Ketua-ketua Cabang yang menghadiri mesyuarat.


“Pihak sekretariat telah mengedarkan Notis Mesyuarat kepada semua Ketua-ketua Cabang dan meminta mereka menghantar wakil jika perlu.


“Namun tindakan sebahagian memboikot mesyuarat MPN bermakna mereka tidak mahu berunding dan MPN telah meluluskan perubahan pimpinan ini dengan persetujuan majoriti ahli-ahli MPN yang hadir mesyuarat dengan kuasa jawatan yang diberikan mengikut perlembagaan parti,” katanya.


Katanya lagi, presiden parti juga telah dimaklumkan berkenaan perubahan itu terutama melibatkan pimpinan utama berdasarkan Fasal 27.5.


“Kami berharap agar pihak-pihak yang tidak berpuas hati berkenaan dengan pengurusan dalaman parti dan perubahan kepimpinan agar menggunakan saluran yang betul dalam menyuarakan protes mereka dan elak menggunakan media secara terbuka.


“Mesyuarat MPN juga memutuskan agar Pimpinan Parti berjiwa besar dengan membuka ruang perbincangan dalam mencari solusi demi kepentingan parti.


“Kami juga ingin mengingatkan Ketua-ketua Cabang yang memboikot Mesyuarat MPN bermakna tidak menghormati Presiden yang telah berunding dengan semua Ketua-ketua Cabang pada Mesyuarat MPN pada 8 September 2021 serta memberi nasihat agar Pengerusi MPN dikekalkan sehingga pemilihan parti akan datang,” katanya.


Mustapha berkata, fokus utama mereka adalah untuk bersedia menghadapi PRU15 dan memantapkan jentera parti di cabang-cabang.


Mesyuarat sebulat suara memberi sokongan penuh kepada Datuk Christina Liew untuk terus menerajui MPN Sabah dengan gagasan baru beliau yang ingin meningkatkan imej dan memperkasa parti dengan menggariskan pelbagai pendekatan baru.


Ini termasuk Perancangan Strategik 2022 yang disokong oleh aktiviti-aktiviti di setiap cabang bersama kepimpinan MPN dan semua ahli parti dengan Tema “Merealisasikan Agenda Bersama”.


Perubahan kepimpinan yang baru adalah seperti berikut:

Timbalan Pengerusi MPN : YB Ag. Husaini Datuk Hj. Ag. Sahari

Naib Pengerusi MPN 1 : YB Peto Galim

Naib Pengerusi MPN 2 : YBhg. Datuk John O.T Gani

Naib Pengerusi MPN 3 : Tn. Haji Abdul Razak Jamil

Setiausaha MPN : Tn. Haji Mustapha Sakmud

Setiausaha Pengelola MPN : Sdr. Remysta Taylor

Timbalan Ketua Penerangan : Sdr. Thonny Chee

Ketua Biro Disiplin MPN : Sdr. Dikin Musa


Ahli-ahli MPN yang baru : 1. Sdr. Alijus Sipil

: 2. Sdr. Ramlan Naim

: 3. Sdr. Akbar Nusah

: 4. Pn. F.Fauziah Binti Abdul Lahap


bottom of page