top of page

MPP Komited Bangunkan Penampang, Tingkat Mutu Perkhidmatan

  • nabalunews
  • May 19
  • 2 min read

19 Mei 2025


PENAMPANG: Majlis Perbandaran Penampang (MPP) komited untuk terus membangunkan daerah ini serta mempertingkat mutu penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.


Presidennya, Francis Chong berkata, pelbagai projek pembangunan telah dan sedang rancak dilaksanakan melalui kerjasama dengan kerajaan dan agensi di bawahnya bagi memastikan kemajuan yang berterusan.


“Projek yang dilaksanakan melalui peruntukan kerajaan negeri dan persekutuan serta bantuan pemimpin tempatan melibatkan antaranya kerja menaik taraf jalan kampung dan projek perumahan.


“Antara yang sedang giat dilaksanakan adalah projek Perumahan Sabah Maju Jaya (SMJ) di mana sebanyak 120 unit rumah telah dibina di kawasan Moyog dan Kapayan, manakala 80 unit lagi dijangka akan dilaksanakan pada tahun ini,” katanya.


Francis berkata demikian ketika berucap pada sambutan Pesta Kaamatan peringkat daerah di Buhavan Square, di sini, semalam.


Di samping itu, katanya, jalan kampung yang sebelum ini dalam keadaan kurang memuaskan telah berjaya dinaik taraf dan usaha menaik taraf infrastruktur asas ini akan diteruskan dari semasa ke semasa.


Menurutnya, walaupun MPP merupakan sebuah majlis yang masih baharu, namun pihaknya telah merangka pelan jangka pendek dan panjang bagi memperkukuh sistem pentadbiran serta kecekapan organisasi.


“Majlis Daerah sebelum ini beroperasi dengan pelbagai kekangan, termasuk kekurangan tenaga profesional seperti peguam, pegawai perancang bandar, pegawai kesihatan dan penguat kuasa.


“Kita berharap dalam masa terdekat, MPP dapat melantik pegawai profesional ini bagi memperkukuh keupayaan perkhidmatan yang ditawarkan kepada masyarakat,” katanya.


Dalam pada itu, Francis berkata, MPP sedang menstruktur semula sistem penggajian dengan memberikan gaji bulanan kepada sebahagian besar kakitangannya yang sebelum ini berstatus gaji hari.


“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha MPP untuk meningkatkan kesejahteraan kakitangan dan memastikan mutu perkhidmatan kepada masyarakat lebih efisien,” katanya.


Terdahulu, sambutan Pesta Kaamatan itu dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, yang juga Ahli Parlimen Penampang.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page