MPS diminta selesaikan isu sampah di Sim-Sim
top of page
  • Wartawan Nabalu News

MPS diminta selesaikan isu sampah di Sim-Sim


Keadaan rumah yang dipenuhi longgokan sampah di Kg Sim SIm.

21 Mac 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


SANDAKAN: Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) digesa untuk mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan isu sampah yang melanda Kampung Sim-Sim di sini.


Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam, berkata demikian selepas melawat kampung nelayan tersebut pada Selasa untuk menyaksikan sendiri keadaan persekitaran yang dipenuhi dengan sampah-sarap.


“Isu sampah ini bukanlah sesuatu yang baru bagi penduduk di kampung air ini. Sampah-sarap terbawa oleh arus laut dan terkumpul di sekitar rumah-rumah penduduk.


“Ini amat membimbangkan saya dan saya telah berbincang dengan Presiden MPS, Henry Idol serta Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP), Datuk Dr. Jamili Nais untuk mencari jalan penyelesaian bagi masalah ini yang sudah berlarutan,” katanya.


Dr. Joachim turut menyatakan bahawa Sim-Sim mempunyai potensi untuk menjadi tarikan pelancong kerana menawarkan makanan laut yang segar dan lazat.


Namun, jika isu sampah tidak ditangani dengan baik, ia akan memberi kesan negatif kepada imej kampung itu serta restoran-restoran yang beroperasi di situ, tambahnya.


Sementara itu, Henry berkata MPS akan mengambil langkah-langkah proaktif untuk membersihkan kawasan tersebut dan antaranya ialah melantik kontraktor khas untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan.


Beliau juga meminta kerjasama daripada penduduk setempat agar tidak membuang sampah merata-rata dan menjaga kebersihan persekitaran.


Turut hadir dalam lawatan itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Papat, Frankie Poon Ming Fung serta pegawai-pegawai kanan KKTP dan MPS.

bottom of page