Muda sasar tanding 15 kerusi Parlimen pada PRU15
top of page
  • Farah Salim

Muda sasar tanding 15 kerusi Parlimen pada PRU15



7 Sept 2022

Oleh Farah Salim


KUALA LUMPUR: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) memutuskan untuk bertanding sekurang-kurangnya 15 kerusi Parlimen di seluruh negara pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).


Menurut kenyataan Muda, PRU15 adalah peluang kepada rakyat membina semula negara Malaysia dan MUDA berikrar untuk bersama-sama dalam perjuangan rakyat untuk masa hadapan yang lebih baik.


“Tawaran MUDA untuk PRU15 adalah menampilkan calon-calon yang berwibawa, mengangkat kepimpinan wanita dan orang muda serta membawa idea yang progresif untuk rakyat Malaysia.


“MUDA juga membuat keputusan bahawa dalam situasi kedudukan MUDA menyertai PRU15 adalah bersama sebuah gabungan, maka sasaran jumlah kerusi Parlimen untuk MUDA tidak lebih dari 15 kerusi seluruh negara,” kata kenyataan media itu.


Dari segi pemilihan calon, parti itu telah menubuhkan Jawatankuasa Pemilihan Calon MUDA bagi memperkasakan peranan MUDA Negeri membuat penilaian senarai calon dan merangka kriteria calon MUDA.


“Semua ahli MUDA di setiap peringkat Negeri dan Parlimen boleh mencadangkan nama-nama calon untuk penilaian jawatankuasa.


“Jawatankuasa ini juga akan sentiasa mengangkat kualiti dan prinsip MUDA

dalam setiap proses pemilihan calon,” katanya.


Menurut kenyataan itu lagi, MUDA telah mengadakan perbincangan awal bersama Pakatan Harapan (PH) mengenai hasrat parti itu menyertai PH.


“MUDA terbuka untuk mengadakan satu perbincangan rasmi bersama Majlis Presiden PH berkenaan hal ini.


“MUDA bersedia bekerjasama bersama rakan yang berkongsi prinsip perjuangan yang sama, mengangkat kepimpinan berbilang bangsa dan agama serta mengangkat politik dasar dan khidmat untuk rakyat,” katanya.

bottom of page