Muhammad Al-Akif Kekal Dominasi, Pertahan Gelaran COC 70kg Ke Atas Mr. Borneo 2025
- nabalunews
- 17h
- 1 min read

17 Disember 2025
PENAMPANG: Atlet bina badan dari Negara Brunei Darussalam, Muhammad Al-Akif Elias, sekali lagi membuktikan keunggulannya apabila berjaya mempertahankan kejuaraan kategori Champion of Champions (COC) 70kg pada Kejohanan Bina Badan dan Physique Mr. Borneo 2025.
Ia sekali gus mencatat kejayaan dua tahun berturut-turut selepas kemenangan pertamanya pada edisi 2024.
Mewakili King Of The Gym Brunei, atlet berusia 31 tahun itu menyifatkan kejayaan tersebut sebagai satu rezeki besar hasil disiplin tinggi, latihan konsisten serta sokongan berterusan daripada pasukan dan keluarga.
Muhammad Al-Akif berkata, dia amat bersyukur kerana diberi peluang dan kekuatan untuk mempertahankan kejuaraan itu dua tahun berturut-turut.
Katanya, kejohanan kali ini menyaksikan persaingan yang sangat sengit, khususnya daripada atlet-atlet berpengalaman dari Sabah, Sarawak dan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang tampil dengan persiapan mantap serta kualiti fizikal yang tinggi.
“Saingan pada tahun ini memang sangat hebat dan mencabar, namun saya tetap berusaha memberikan yang terbaik untuk mempertahankan gelaran Mr. Borneo sekali lagi,” katanya.
Di sebalik kejayaan di pentas antarabangsa Borneo, Muhammad Al-Akif yang bekerja sebagai kakitangan sektor swasta di Brunei Darussalam, membuktikan komitmen terhadap kerjaya dan sukan berprestasi tinggi mampu diseimbangkan dengan disiplin yang betul.
Mengulas perancangan masa hadapan, beliau tidak menolak kemungkinan untuk terus aktif dalam arena bina badan sekiranya dikurniakan kesihatan dan peluang.
“Sekiranya diberi kesihatan dan rezeki, sasaran saya pada tahun 2026 adalah untuk menyertai mana-mana pertandingan bina badan yang dianjurkan, termasuk juga Mr. Borneo 2026,” katanya.
Untuk rekod, kejayaan Muhammad Al-Akif bukan sahaja mengharumkan nama King Of The Gym Brunei, malah turut mengangkat martabat sukan bina badan Brunei Darussalam di peringkat serantau.
Ia sekali gus menjadikannya antara atlet yang wajar diberi perhatian menjelang musim pertandingan 2026.


















Comments