Murid prasekolah, tadika dibenar hadir tanpa penggiliranMurid prasekolah, tadika dibenar hadir tanpa penggiliran
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Murid prasekolah, tadika dibenar hadir tanpa penggiliran



19 Okt 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Murid prasekolah dan tadika kini dibenarkan hadir ke sekolah tanpa sistem penggiliran dalam prosedur operasi standard (SOP) terbaharu bagi Fasa 3 negeri Sabah.


Bagaimanapun, ketetapan tersebut adalah tertakluk kepada arahan semasa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kata, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun.


Bagi kelas tuisyen, kelas muzik, kelas tarian, kelas seni, kelas mengaji berbayar, kelas bahasa berbayar dan sebagainya dibenarkan beroperasi secara bersemuka dengan penggiliran serta 50 peratus kapasiti kelas.


Begitu juga dengan semua sekolah dan institusi pendidikan di bawah KPM dibenarkan buka untuk sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka.


Namun pembukaan sekolah tersebut dalah terhad kepada murid Tingkatan Enam Semester 2, pelajar International Baccalaureate Diploma Programme (IBDP), Murid Berkeperluan Khas (MBK) dan Kolej Vokasional sahaja.


Tambah Masidi, Institut Latihan Kemahiran, sekolah selain di bawah KPM, pusat tahfiz dan institusi-institusi pendidikan lain turut dibenarkan.


Selain itu, pembukaan sektor latihan kemahiran dan pusat latihan industri termasuk kolej vokasional, TVET dan sebagainya dibenarkan dengan mematuhi SOP selaras dengan pembukaan Institut Pengajian Tinggi (IPT) berkuatkuasa 15 Oktober 2021.


Aktiviti PdP di IPT secara bersemuka atau berkumpulan juga dibenarkan dengan syarat pelajar telah lengkap divaksin dan melepasi tempoh keberkesanan selepas divaksinasi dengan mematuhi SOP yang ketat.


Sementara itu mod PdP secara hibrid dilaksanakan bagi pelajar yang berada di kampus manakala mod PdP secara dalam talian akan diteruskan bagi pelajar yang belum kembali ke kampus.

bottom of page