top of page
  • Wartawan Nabalu News

Musim Panas berpanjangan dijangka berlarutan hingga Ogos


16 April 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Musim panas yang melanda negara sejak beberapa minggu lalu dijangka akan berakhir pada bulan Ogos ini, menurut Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.


Beliau berkata, keadaan cuaca panas dan kering ini disebabkan oleh peralihan monsun yang mempengaruhi kawasan utara dan pantai timur Semenanjung Malaysia.


"Kawasan utara lebih teruk dan paling ketara dengan ada kawasan bersempadan dengan Thailand mencecah suhu lebih 37 darjah celcius.


"Kita jangka keadaan ini berlarutan sehingga Ogos kerana peralihan monsun. Selepas Ogos dijangka kembali hujan," katanya ketika ditemui media.


Tambah beliau, musim panas yang berpanjangan ini turut menyumbang kepada jerebu di beberapa kawasan.


"Beberapa kawasan merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat, termasuk Tanah Merah dan Cheras," katanya.


Beliau menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga seperti minum air yang mencukupi, mengelakkan aktiviti luar dan memakai pelindung matahari.



bottom of page