13 tuntutan MA63 selesai, baki 16 dalam rundingan – Mustapha
- nabalunews
- 9 minutes ago
- 2 min read

29 Januari 2026
KUALA LUMPUR: Sebanyak 13 daripada 29 tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) telah berjaya diselesaikan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud.
Menurut beliau, ia antaranya pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Sabah dan Negeri Sarawak, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak serta Jabatan Bekalan Air Negeri Sabah sebagai Jabatan Teknik di bawah Arahan Perbendaharaan 182 (AP182).
Selain itu, pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) 1995 bagi melantik wakil kerajaan negeri Sabah dan Sarawak sebagai anggota tetap, penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas di Sabah bagi penjanaan kuasa elektrik, pentadbiran badan kehakiman di Sabah dan Sarawak, serta pindaan Ordinan Buruh Sabah dan Ordinan Buruh Sarawak.
“Sementara itu, baki 16 tuntutan masih pada peringkat rundingan dengan satu daripadanya dikategorikan selesai secara sebahagian atau interim, manakala dua lagi tuntutan mencapai keputusan dasar.
“Lapan tuntutan lain masih dalam perbincangan dan lima tuntutan lagi dirujuk untuk perbincangan pada peringkat tertinggi,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Matbali Musah (GRS-Sipitang) mengenai manfaat langsung yang dijangka dirasai rakyat Sabah dan Sarawak hasil penambahbaikan struktur yang dilaksanakan kerajaan berhubung MA63.
Mustapha berkata, tempoh masa penyelesaian bagi baki tuntutan berkenaan tertakluk kepada beberapa faktor utama termasuk perbezaan tafsiran undang-undang, proses perundangan yang panjang, isu bidang kuasa bertindih serta kesiapsiagaan operasi kerajaan negeri.
Dalam pada itu, ujarnya, komitmen kerajaan dalam memartabatkan hak Sabah dan Sarawak terbukti menerusi keberanian kerajaan dalam melakukan pembaharuan struktur termasuk menubuhkan Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63).
“MTPMA63 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ini bertujuan mempercepat proses rundingan dan penyelesaian tuntutan.
“Pada masa sama, kesungguhan kerajaan terserlah melalui sokongan fiskal yang signifikan dengan peningkatan belanjawan pembangunan 2026 sebanyak RM6.9 bilion dan RM6 bilion, masing-masing kepada Sabah dan Sarawak,” katanya.
Menurut beliau, pelaksanaan MA63 akan terus dipantau secara inklusif dan berteraskan semangat Persekutuan, selari dengan usaha memperkukuh kedudukan Sabah dan Sarawak dalam pembangunan negara.














