Kerajaan digesa kembalikan satu pertiga kerusi Parlimen kepada Sabah dan Sarawak
- nabalunews
- 2 hours ago
- 2 min read

29 Januari 2026
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Ranau Datuk Jonathan Yasin menggesa Kerajaan Persekutuan menyegerakan pindaan undang-undang bagi mengembalikan satu pertiga kerusi Parlimen kepada Sabah dan Sarawak, selaras dengan semangat pembentukan Malaysia dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau berkata pembahagian kerusi Parlimen antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung telah lama terhakis, khususnya selepas Singapura keluar daripada Persekutuan pada 1965, sekali gus menjejaskan kuasa semak dan imbang yang sepatutnya dimiliki kedua-dua wilayah Borneo itu.
Menurutnya, kelulusan Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) pada 30 Julai 1974 merupakan antara implikasi daripada ketiadaan satu pertiga kuasa Parlimen oleh Sabah dan Sarawak untuk menolak atau menghalang kelulusannya.
“Sebab itu saya menyentuh tentang pembahagian kerusi kerana apa yang ianya berkaitan dengan PDA itu. Pembahagian kerusi Sabah dan Sarawak sudah terakru, dan sepatutnya hal ini disegerakan.
“Malaya sudah mengambil kerusi Singapura. Sebab itu perlindungan satu pertiga ini penting supaya kuasa tidak diambil atau undang-undang diluluskan sewenang-wenangnya di Parlimen,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perbahasan ke atas usul menjunjung kasih Titah Ucapan Kebawah Duli Yang di-Pertuan Agong pada sesi Persidangan Parlimen, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Jonathan menegaskan perwakilan yang seimbang antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak merupakan langkah penting bagi memastikan hak dan kepentingan dua wilayah Borneo itu terus terpelihara.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya satu undang-undang digubal bagi menetapkan semakan pembahagian kerusi secara saksama setiap lapan tahun melibatkan semua wilayah.
Mengulas dakwaan alasan kerajaan kononnya masih terlalu awal untuk melaksanakan perkara itu berikutan pilihan raya baru sahaja diadakan, Jonathan menyifatkan alasan berkenaan sebagai dangkal dan tidak mencerminkan komitmen sebenar terhadap tuntutan Sabah dan Sarawak.
“Kalau betul sungguh-sungguh, bila ada penambahan kerusi, maka sama-sama lah naik tambah dan satu pertiga itu akan sentiasa terjamin untuk Sabah dan Sarawak. Sebab itu saya harap itu yang akan dilakukan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Jonathan turut menekankan keperluan menambah kerusi Parlimen di kawasan luas seperti Ranau, yang keluasannya lebih berbanding Melaka, Pulau Pinang dan Perlis, namun menerima peruntukan pembangunan jauh lebih rendah berbanding negeri-negeri berkenaan.
“Ranau hanya menerima sekitar RM4 juta setahun, sedangkan negeri lain dengan 11 Ahli Parlimen menerima lebih RM40 juta. Bukankah ini satu kebengkakan ekonomi yang sangat besar,” katanya.
Sementara itu, beliau mengulangi tuntutan supaya Kerajaan Persekutuan melaksanakan sepenuhnya hak 40 peratus hasil Sabah sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan, selain mempersoalkan ketiadaan pendedahan jelas mengenai jumlah sebenar hasil diperoleh daripada Sabah dan Sarawak.
Pada masa sama, Jonathan mengingatkan jaminan yang diberikan kepada rakyat Sabah dan Sarawak semasa pembentukan Malaysia bahawa wilayah-wilayah Borneo mempunyai hak menentukan masa depan mereka sekiranya Persekutuan gagal membawa manfaat yang dijanjikan.
“Jika tujuan kita benar-benar untuk membangunkan Sabah dan Sarawak, lakukan dengan bersungguh-sungguh. Berilah peruntukan pembangunan dan pembahagian kerusi yang adil supaya kami boleh berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dalam Persekutuan ini,” katanya.


















Comments