MyKad baharu bakal dilengkapi rekod pembelian minyak masak paket
- nabalunews
- 4 hours ago
- 1 min read

29 Januari 2026
KUALA LUMPUR: MyKad baharu yang bakal diperkenalkan pada 1 Jun depan akan dilengkapi fungsi khas bagi merekod pembelian minyak masak paket bersubsidi.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha mengintegrasikan pelbagai mekanisme subsidi dan bantuan dalam satu platform bersepadu.
Menurut beliau, kaedah baharu tersebut akan turut membantu kerajaan dalam mengenal pasti dan merekod pembelian minyak masak paket bersubsidi, sekali gus mengelak pembelian oleh warga asing.
“Memandangkan subsidi RON95 dan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) telah berjalan dengan lancar, kami akan berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk mengintegrasikan dengan platform MyKasih sebagai pilihan tambahan bagi penjualan minyak masak paket.
“Selepas ini, pengguna boleh membeli minyak masak paket dengan hanya mengimbas kad pengenalan,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) sama ada kerajaan bercadang untuk mengintegrasikan eCOSS dengan aplikasi berkaitan lain.
Ketika ini, aplikasi mudah alih Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) digunakan bagi mendaftarkan rekod transaksi, yang merangkumi keseluruhan rantaian pengedaran sehingga ke peringkat pembelian di kedai runcit.
Armizan berkata, eCOSS yang dibangunkan KPDN bertujuan menambah baik pengurusan minyak masak kemasan paket bersubsidi satu kilogram melalui pendigitalan.
“KPDN akan sentiasa menambah baik pengurusan eCOSS sama ada melalui aplikasi Mobile eCOSS dan opsyen-opsyen lain bagi memastikan perekodan secara digital di setiap rantaian pengagihan bekalan dan transaksi jual beli,” katanya.


















Comments