top of page

MyDigital ID jadi sistem log masuk tunggal aplikasi MyNIISe

  • nabalunews
  • 15 hours ago
  • 1 min read

ree

6 Januari 2026


PUTRAJAYA: Platform MyDigital ID akan digunakan sebagai log masuk tunggal bagi warga Malaysia yang menggunakan aplikasi mudah alih Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) untuk melalui pintu masuk negara bermula 15 Januari ini.


Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan hari ini berkata, bagi pengguna warga asing kaedah log masuk sedia ada ke aplikasi MyNIISe akan terus digunakan tanpa sebarang perubahan.


“Pelaksanaan MyDigital ID sebagai sistem log masuk tunggal merupakan sebahagian daripada inisiatif pelaksanaan NIISe yang bertujuan mengesahkan identiti pengguna secara tepat dan selamat melalui pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara tanpa menyimpan data peribadi pengguna.


"Pendekatan ini meningkatkan keselamatan transaksi digital serta memudahkan pengalaman pengguna melalui satu log masuk tunggal tanpa perlu mengingati pelbagai kata laluan," menurut kenyataan itu.


Sehubungan itu, KDN menyarankan warganegara Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas untuk memuat turun serta mendaftarkan diri ke aplikasi MyDigital ID yang boleh didapati di gedung aplikasi seperti Apple App Store, Google Play dan Huawei AppGallery sebelum menggunakan MyNIISe.


Jelas kementerian itu, aplikasi MyNIISe telah mula digunakan bermula 22 September 2025 untuk memasuki pintu masuk negara di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Johor Bahru, Johor.


Menurut KDN lagi, aplikasi itu akan diperluaskan secara berperingkat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Kuching serta Kota Kinabalu.


“Sehingga 30 Disember 2025, MyNIISe telah mencatatkan 599,967 muat turun dengan 287,258 pengguna berdaftar.


“Pelaksanaan MyDigital ID dalam MyNIISe mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memodenkan perkhidmatan awam melalui pendigitalan yang selamat, cekap dan berfokuskan rakyat,” katanya.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page