top of page

MYFUNDACTION BANTU 300 KELUARGA DI PULAU MANTANANI, BANGGI

  • nabalunews
  • Dec 12, 2020
  • 1 min read

12 DIS 2020


KOTA KINABALU: Sukarelawan MyFundAction menyalurkan sumbangan kemanusiaan kepada 300 keluarga Asnaf di Pulau Mantanani dan Pulau Banggi dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), semalam.

Ketua misi Noor Shafiqah Kassim berkata 150 keluarga di setiap pulau menerima bantuan tersebut dengan rata-rata penerima terdiri daripada warga emas yang uzur dan tidak mampu lagi bekerja.

Beliau berkata misi itu berdepan pelbagai cabaran antaranya ombak laut bergelora, hujan dan kotak bantuan rosak namun ia tidak mematahkan semangat anggota misi meneruskan tugas tersebut.

"Bagi kami, itu semua adalah cabaran dan lumrah dalam kalangan penggiat kesukarelawan, namun semua penat lelah itu akan terasa lega dan menjadi satu kepuasan setelah melihat raut kegembiraan pada wajah para penerima bantuan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Labuan Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata setiap keluarga diberikan kotak makanan bernilai RM150 mengandungi 15 jenis barang makanan keperluan harian seperti beras, gula, tepung dan minyak masak.

Beliau berkata tiga bot peronda dari Zon Maritim Kudat ditugaskan bagi melaksanakan penugasan penghantaran kotak makanan yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM45,000 ke dua pulau tersebut.

"Saya juga menyeru komuniti maritim agar sentiasa peka kepada keadaan cuaca semasa, lakukan aktiviti di laut secara berkumpulan, pastikan bot yang digunakan berada dalam keadaan baik dan selamat serta jangan lupa memakai jaket keselamatan," katanya. - Bernama

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page