NADI Pulau Banggi perkukuh pembangunan digitalisasi luar bandar
- nabalunews
- 27 minutes ago
- 1 min read

11 Ogos 2025
KUDAT: Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Pulau Banggi mampu menjadi pemacu pembangunan sosioekonomi luar bandar dan memperkukuh agenda pendigitalan negara.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam kenyataan memaklumkan, pusat komuniti digital sehenti itu memainkan peranan penting dalam menyediakan kemudahan capaian internet, latihan kemahiran digital dan akses maklumat kepada komuniti di luar bandar.
“Teknologi Starlink di NADI Pulau Banggi menyediakan akses Internet berkelajuan tinggi, dengan kelajuan minimum mencecah 100 Mbps.
“NADI ini juga dilengkapi ruang latihan serta perkhidmatan rujukan maklumat yang menyokong pembangunan ekonomi, pendidikan, dan keusahawanan digital,” menurut kenyataan itu.
NADI Pulau Banggi baru-baru ini dinobatkan sebagai juara World Summit on the Information Society (WSIS) Prizes 2025 bagi kategori C4: Capacity Building anjuran International Telecommunication Union (ITU) bersama agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Pengiktirafan ini membuktikan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan tiada komuniti yang terpinggir daripada arus pendigital negara,” tambah kenyataan itu.
Semalam, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengadakan lawatan ke NADI Pulau Banggi bagi memantau perkembangan pusat komuniti digital sehenti itu dan berinteraksi bersama komuniti setempat termasuk ahli Komuniti MADANI serta meninjau status keterhubungan telekomunikasi di Kudat.
Selain itu, Fahmi turut memantau kemajuan liputan telekomunikasi di sekitar Pulau Banggi, yang menunjukkan perkembangan positif dalam memperluas capaian rangkaian dan meningkatkan keterhubungan terutamanya untuk komuniti di Sabah.
Menurut SKMM, lawatan itu menzahirkan komitmen berterusan Kerajaan untuk meningkatkan ketercapaian digital luar bandar sekali gus memacu pembangunan sosioekonomi dan memperkukuh agenda pendigitalan negara.
Comentarios