Naik taraf Fasa 3 dataran Kadamaian Square dan Tamu Taginambur Kota Belud siap sepenuhnya
22 Oktober 2024
KOTA BELUD: Fasa 3 projek naik taraf Dataran Kadamaian Square dan Tamu Taginambur di Kota Belud kini telah siap sepenuhnya, yang menandakan satu lagi pencapaian penting dan signifikan dalam pembangunan infrastruktur kawasan tersebut.
Perkara ini dimaklumkan oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kadamaian, Saikom Watis dan Penyelia Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, Joel Deukin, semasa lawatan tapak yang dilakukan baru-baru ini di Dataran Kadamaian Square.
Lawatan tersebut bertujuan untuk menilai kemajuan kerja yang telah dilaksanakan.
Projek Fasa 3 ini melibatkan pembinaan jalan lingkaran (Ring Road), pembinaan parit, dan pemasangan lampu solar di kawasan Tamu Taginambur.
Semua elemen ini direka untuk meningkatkan infrastruktur dan keselesaan penduduk tempatan serta pengunjung yang datang ke kawasan ini.
Pengumuman mengenai Fasa 3 projek naik taraf Dataran Kadamaian Square dan Tamu Taginambur telah dibuat oleh , Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick semasa Majlis Pelancaran Pembangunan Kadamaian pada awal tahun ini.bersempena dengan Rumah Terbuka Krismas dan Tahun Baru.
Dalam ucapan beliau ketika itu, Ewon menekankan komitmen dan perjuangannya terhadap pembangunan berterusan di Kadamaian, dengan menegaskan bahawa usaha ini adalah untuk memastikan kesejahteraan dan manfaat kepada seluruh rakyat Kadamaian.
Beliau menyatakan bahawa inisiatif ini bukan sekadar meningkatkan infrastruktur fizikal, tetapi juga bertujuan untuk menggalakkan aktiviti ekonomi di kalangan penduduk setempat.
Fasa 1 projek ini telah dimulakan pada tahun 2019, yang melibatkan pembinaan Dewan Terbuka Kadamaian Square, penyediaan tandas awam lelaki dan wanita, kemudahan tempat letak kereta, pembekalan kelengkapan untuk dewan, serta pembinaan jalan masuk konkrit ke kawasan Tamu Taginambur.
Fasa 2 pula, yang dilaksanakan pada tahun 2020, merangkumi pembinaan chalet, restoran tepi sungai Kadamaian, konkrit tebing sungai, naik taraf dewan terbuka, dan penyimenan kawasan tamu bagi memudahkan para penjaja menjalankan perniagaan mereka.
Fasa 1 dan Fasa 2 ini dilaksanakan ketika Ewon memegang portfolio sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah.
Usaha berterusan ini menunjukkan kesungguhan beliau dalam memastikan pembangunan menyeluruh bagi kawasan Kadamaian.
Ewon turut menyuarakan harapannya bahawa keseluruhan projek ini akan membawa manfaat besar kepada penduduk tempatan dan para penjaja, selain meningkatkan daya tarikan kawasan ini sebagai pusat aktiviti masyarakat.
Dengan adanya kemudahan baru ini, Dataran Kadamaian Square dijangka menjadi tumpuan utama bagi pelbagai acara dan perhimpunan masyarakat setempat, sekaligus menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial kawasan tersebut.
Comentarios