Naik taraf Lapangan Terbang Tawau tingkatkan kapasiti, kecekapan operasi
- nabalunews
- Jan 17
- 1 min read

17 Januari 2026
TAWAU: Projek penaiktarafan Terbang Tawau merupakan langkah strategik bagi memastikan kapasiti, kecekapan operasi serta tahap keselesaan pengguna dapat dipertingkat secara menyeluruh.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, naik taraf itu bukan sahaja untuk memenuhi keperluan semasa malah menyokong pertumbuhan ekonomi dan pembangunan wilayah pada masa hadapan.
“Penaiktarafan Lapangan Terbang Tawau ini merupakan satu keperluan penting memandangkan fungsinya sebagai pintu masuk utama ke Pantai Timur Sabah.
“Selain menyokong pergerakan rakyat setempat, lapangan terbang ini turut memainkan peranan strategik dalam merancakkan sektor pelancongan, perdagangan dan pelaburan khususnya di daerah Tawau, Semporna, Kunak dan kawasan sekitarnya,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Sabtu.
Menurut Mustapha, peruntukan bagi projek itu diumumkan melalui Belanjawan 2026 yang memperuntukkan RM2.3 bilion bagi pembangunan dan penaiktarafan lapangan terbang utama negara, termasuk Lapangan Terbang Tawau.
Terdahulu, beliau menghadiri sesi taklimat serta lawatan tapak cadangan penaiktarafan lapangan terbang berkenaan bagi mendapatkan gambaran menyeluruh berkaitan skop pembangunan dan keperluan teknikal projek yang dicadangkan.
Turut hadir dalam lawatan ialah Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.


















Comments