top of page

Naiktaraf Pusat Orang Utan dan Beruang Madu Sepilok

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 2 min read


14 Mei 2025


SANDAKAN: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah akan menaiktaraf Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok dan Pusat Pemuliharaan Beruang Madu Borneo, Sepilok, di sini, tahun ini.


Menterinya, Datuk Seri Christina Liew berkata, ia adalah antara fasiliti pelancongan yang dipilih untuk dinaik taraf sebagai persediaan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.


Katanya, setakat ini, empat projek naik taraf sudah diluluska merangkumi dua projek di bawah pembiayaan Kerajaan Persekutuan bernilai RM750,000.



“Manakala dua lagi di bawah pembiayaan Kerajaan Negeri Sabah bernilai RM500,000. Ia adalah adalah sebahagian daripada inisiatif Kerajaan Negeri dalam memastikan Sabah bersedia sepenuhnya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.


"Kerajaan Negeri komited dalam memastikan kemudahan yang disediakan kepada pelancong, sama ada kepada pelawat tempatan mahupun antarabangsa, adalah dalam keadaan yang terbaik, selamat, mesra alam dan berstandard tinggi,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok, di sini.



Christina berkata, penaiktarafan ini juga memberikan nilai tambah kepada pengalaman pelawat di kawasan ini di samping memelihara kepentingan ekosistem dalam jangka masa panjang.


Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok adalah antara pusat pemulihan orang utan tertua di dunia dan telah menarik pelawat dari seluruh pelusuk dunia sejak ia dibuka pada 1964.


Ia memainkan peranan penting dalam usaha konservasi hidupan liar dan turut menjadi pusat pendidikan kepada generasi muda serta pelancong antarabangsa.


Sementara itu, Borneo Sun Bear Conservation Center pula adalah satu-satunya pusat pemuliharaan beruang madu di dunia yang menyediakan perlindungan kepada spesies terancam itu, selain menjadi hab penyelidikan dan pendidikan alam sekitar.


Sementara itu, Christina berkata, menerusi penambahbaikan infrastruktur itu, ia dijangka dapat menarik lebih ramai pelawat dan meningkatkan kesedaran mengenai konservasi biodiversiti Borneo.


"Usaha penaiktarafan ini juga selaras dengan komitmen Sabah dalam memajukan eko pelancongan mampan, di mana pemeliharaan alam sekitar dan pembangunan ekonomi dapat bergerak seiring," katanya.

Commentaires


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page