Najib kekal di penjara selepas Mahkamah Persekutuan tolak permohonan semakan
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Najib kekal di penjara selepas Mahkamah Persekutuan tolak permohonan semakan


31 Mac 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kekal di penjara selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonan semakan beliau terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman beliau dalam kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta.


Keputusan itu dibuat dengan majoriti 4-1 oleh panel lima hakim Hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli pada hari ini.

.

Hakim Vernon Ong Lam Kiat yang membacakan keputusan berkata, hak Najib untuk mendapatkan perbicaraan yang adil tidak dinafikan ketika pendengaran rayuan beliau pada Ogos tahun lalu.


Beliau menambah bahawa peguam Najib enggan mengemukakan penghujahan lisan walaupun dibenarkan berbuat demikian oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel rayuan tersebut.


“Sehubungan itu,, tiada kesilapan mahkamah ketika pendengaran rayuan Najib dalam kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta oleh panel hakim pada tahun lalu,” katanya.


Najib yang hadir di mahkamah bersama isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan ratusan penyokongnya tidak menunjukkan sebarang reaksi apabila keputusan dibacakan.


Beliau kini hanya mempunyai satu pilihan terakhir untuk dibebaskan iaitu menerusi pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong.


Najib dilaporkan sudah memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan tersebut pada 2 Sept 2022.


Pada 28 Julai 2020, Najib didapati bersalah di atas tujuh pertuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC.


Beliau dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 8 Dis 2021.


SRC International adalah sebuah syarikat anak kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang juga melibatkan Najib dalam beberapa kes rasuah lain yang masih belum selesai perbicaraannya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page