top of page

Nanping, China dan Sandakan rancang menjadikan SJKC Tai Tong Sandakan sebagai Sister school dan Bandar Sandakan sebagai Sister City

  • Wartawan Nabalu News
  • Aug 15, 2024
  • 2 min read
Frankie dan yang lain bersama delegasi Nanping, China selepas mesyuarat di Majlis Perbandaran Sandakan.

15 Ogos 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


SANDAKAN: Sandakan menerima kunjungan hormat daripada perwakilan Nanping, China yang dalam rangka lawatan persahabatan selama dua hari ke daerah ini.


Rombongan China itu terdiri Penyelidik Peringkat Kedua Biro Kebudayaan dan Pelancongan Perbandaran Nanping, Wang Songxiong, Timbalan Mayor Bandar Kerajaan Perbandaran Shaowu, Zhang Sheng dan Pegawai Utama Peringkat Ketiga di Hal Ehwal Luar Negara Nanping, Huang Yanhong.


Rombongan dari Negara Tembok Besar itu disambut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Papat, Datuk Frankie Poon Ming Fung.


Semasa di Sandakan, delegasi itu melawat ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Tai Tong Sandakan yang ditubuhkan pada 1932 dan terkenal dengan sejarah.


Sekolah ini juga telah melahirkan ramai bakat komuniti Cina di Sandakan dan sentiasa menekankan pendidikan budaya Cina selain berdedikasi untuk menggabungkan nilai tradisional dengan konsep pendidikan moden.


Dalam perbincangan dengan Lembaga Pengarah dan pengetua sekolah tersebut, delegasi Nanping dan SJKC Tai Tong menyatakan hasrat untuk mewujudkan hubungan sekolah persahabatan (sister school). 


Kedua-dua pihak percaya bahawa kerjasama ini akan menyumbang kepada pertukaran budaya dan kerjasama pendidikan antara pelajar di kedua-dua bandar berkenaan.


Mereka yakin bahawa kerjasama ini akan dapat direalisasikan dan butiran kerjasama akan dimuktamadkan tidak lama lagi.


Delegasi itu turut menghadiri mesyuarat yang dianjurkan oleh Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) bersama Frankie Poon dan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah. 


Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Naib Presiden MPS, Wilson @ Terrence Thomas, manakala Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah diwakili oleh Setiausaha Tetap, Josie Lai dengan topik utama mesyuarat bagi membincangkan kemungkinan menjadikan Sandakan dan Nanping sebagai Sister City. 


Kedua-dua pihak sebulat suara bersetuju bahawa hubungan Sister City ini akan membawa manfaat yang besar dalam aspek ekonomi, budaya dan sosial kepada kedua-dua pihak. 


Mesyuarat ini berjaya mencapai kesepakatan awal dan membuka jalan bagi hubungan yang lebih erat antara kedua-dua bandar.


Lawatan ini bukan sahaja memperkukuhkam hubungan persahabatan antara Sandakan dan Nanping, tetapi juga meletakkan asas yang kukuh untuk kerjasama masa depan antara kedua-dua bandar itu.


Dalam pada itu, delegasi itu turut melawat Pusat Pemuliharaan Orangutan di Sepilok, Sandakan.


Mereka diberikan taklimat oleh pihak Jabatan Hidupan Liar mengenai usaha pemuliharaan Orangutan di Sandakan dan delegasi itu menghargai usaha terbabit.


Selain itu, delegasi dari China juga melawat Pusat Konservasi Beruang Madu Borneo dan disambut Pengasasnya, Dr.Wong Siew Te yang turut memberikan taklimat berkenaan usaha konservasi beruang itu.


Sejurus itu, rombongan China melawat ke sebuah resort berdekatan Sepilok yang menyajikan pelbagai buah-buahan tempatan serta makanan tradisi selain makan malam di Kampung Sim-Sim yang terkenal dengan makanan laut segar. 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page