NDRC UMS Perkasa Kesiapsiagaan Gempa Bumi Komuniti Segamat Melalui Program CBDRM
- nabalunews
- 3 hours ago
- 2 min read

5 Februari 2026
KOTA KINABALU: Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menjalinkan kerjasama strategik bersama Pertubuhan Ihsan Johor dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam penganjuran Program Kesiapsiagaan Community-Based Disaster Risk Management (CBDRM) Gempa Bumi di Segamat, Johor.
Program tersebut berjaya menghimpunkan seramai 100 orang peserta dalam kalangan komuniti setempat dari kawasan DUN Buloh Kasap dan DUN Pemanis, di samping penglibatan agensi teknikal, pasukan tindak balas bencana serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Penglibatan NDRC UMS dalam program berkenaan melengkapkan ekosistem pelaksanaan melalui sumbangan kepakaran akademik dan teknikal, sekali gus mencerminkan kerjasama strategik merentas sektor antara institusi akademik, NGO dan agensi kerajaan dalam memperkukuh kesiapsiagaan komuniti terhadap risiko gempa bumi.

Menurut Pengarah NDRC UMS, Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn M. Payus, NDRC berperanan sebagai rakan strategik serta penyumbang kepakaran teknikal kepada Pertubuhan Ihsan Johor dalam pelaksanaan Program Kesiapsiagaan CBDRM Gempa Bumi Segamat.
“Penglibatan NDRC UMS merupakan sebahagian daripada komitmen universiti dalam menyokong agenda pengurangan risiko bencana berasaskan komuniti melalui pemindahan ilmu dan kepakaran akademik.
“NDRC UMS turut disokong oleh NADMA melalui peruntukan kewangan projek CBDRM yang disalurkan kepada NDRC.

“Ia selaras dengan usaha memperkukuh kerjasama merentas sektor dan negeri, sebahagian peruntukan tersebut telah dikongsi bersama Pertubuhan Ihsan Johor bagi menyokong pelaksanaan program di Segamat, di samping sumbangan kepakaran teknikal NDRC,” katanya.
Tambah Carolyn, sebagai rakan strategik utama, NDRC UMS memainkan peranan signifikan dalam penyediaan kandungan teknikal serta pelaksanaan modul latihan berasaskan kepakaran akademik dan pengalaman lapangan.
Ketua Kluster Gempa Bumi dan Tsunami NDRC, Prof. Madya Ir. Ts. Gs. Dr. Noor Sheena Herayani Harith, turut menyampaikan modul berkaitan kefahaman asas gempa bumi yang merangkumi punca, ciri gegaran, risiko geologi serta implikasi terhadap keselamatan komuniti dan infrastruktur.

Latihan tersebut memberi penekanan kepada keupayaan komuniti untuk bertindak secara terancang dan berkesan bagi mengurangkan impak bencana terhadap nyawa dan harta benda, selaras dengan pengalaman luas NDRC dalam pelaksanaan latihan kesiapsiagaan bencana di peringkat sekolah dan komuniti.
Penglibatan NDRC UMS sebagai rakan strategik dalam Program CBDRM Gempa Bumi Segamat tersebut menegaskan peranan universiti sebagai pusat rujukan kepakaran dan pemindahan ilmu.
Ia juga bagi menyokong usaha nasional ke arah pembinaan komuniti yang lebih berdaya tahan dan bersedia menghadapi bencana, selaras dengan Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030 dan Kerangka Sendai 2015–2030.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah Pasca Bencana NADMA, Hussain Moh, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Ihsan Johor, Farrah Baptist serta Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Johor, Noorazhar Ngatimin.


















Comments