top of page
nabalunews

Negara akan harungi gelora ekonomi melalui daya usaha baharu di bawah naungan Sultan Ibrahim – PM


20 Julai 2024


KUALA LUMPUR: Di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim, negara akan mengharungi liku gelora ekonomi dunia melalui prakarsa baharu yang mampan bagi menjamin kesejahteraan rakyat.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah- langkah tegas seperti yang digariskan dalam kerangka Ekonomi MADANI telah mencetus unjuran kadar pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan pada 5.8 peratus bagi suku kedua tahun ini.


“Momentum segar ini diperkukuh dengan angka nilai perdagangan bernilai RM1.396 trilion.


“Sementara nilai pelaburan baharu yang diluluskan adalah sebanyak RM83.7 bilion untuk suku pertama tahun ini, yakni 13 peratus lebih tinggi berbanding RM74.1 bilion pada tahun lalu,” kata Anwar semasa menyembahkan ucapan tahniah dan taat setia atas pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara hari ini.


Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 berlangsung di Balairung Seri Istana Negara, di sini, hari ini.


Sultan Ibrahim melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lalu.


Semalam, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengunjurkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia berkembang 5.8 peratus pada Suku Kedua 2024, meningkat daripada 4.2 peratus pada suku sebelumnya dan merupakan pertumbuhan tertinggi sejak Suku Kedua 2022 pada 7.4 peratus.


Menurut laman web DOSM, pengumuman rasmi KDNK Suku Kedua 2024 akan diadakan pada 16 Ogos, 2024.

Comments


bottom of page