Nelayan Miliki Dadah Ditahan
- nabalunews
- 2 minutes ago
- 1 min read

26 Mac 2026
KUDAT: Seorang nelayan ditahan selepas dikesan membawa bahan disyaki dadah selain turut didapati menggunakan bot tanpa pendaftaran.
Lelaki berusia 32 tahun itu ditahan selepas berjaya dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat dalam operasi khas di perairan daerah ini, semalam.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, bertindak hasil maklumat risikan, pihaknya mengerahkan bot ronda Maritim Malaysia ke lokasi berhampiran 0.3 batu nautika barat daya Terminal Jeti Feri Kudat.

“Sebaik berjaya dikesan, suspek didapati berada dalam keadaan mencurigakan menaiki bot gentian kaca tanpa nombor pendaftaran.
“Pemeriksaan lanjut menemui dua bungkusan kecil berisi hablur putih yang disyaki dadah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, operasi berkenaan dilaksanakan menerusi Op Sejahtera dam Op Khas Pagar Laut yang sedang giat dijalankan bagi mengekang jenayah rentas sempadan di perairan negara.

Susulan penahanan itu, bot bersama suspek diiring masuk ke Jeti Marina Kudat sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Zon Maritim Kudat untuk tindakan lanjut.
Katanya, nilai keseluruhan dianggarkan bernilai RM1500 dan kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki bahan disyaki dadah serta Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah susulan kegagalan mempamerkan lesen bot yang sah.
Sehubungan itu, Hasbullah turut menegaskan, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti jenayah di laut, khususnya melibatkan pengedaran dadah yang dilihat semakin membimbangkan.
Katanya, komuniti maritim juga digesa agar terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kudat di talian 088-611858 bagi membolehkan tindakan segera diambil.











