Nelson turun naik mahkamah tuntut hak Sabah, wajar ada tempat di Parlimen atau DUN - Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Nelson turun naik mahkamah tuntut hak Sabah, wajar ada tempat di Parlimen atau DUN - Ewon


30 Julai 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA PENYU: Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick menggesa ahli-ahli parti untuk menggerakkan jentera bagi memastikan kemenangan kepada Ketua Bahagian UPKO Beaufort Nelson Angang apabila dicalonkan dalam pilihanraya akan datang.


Menurut Ewon, Nelson merupakan tulang belakang dan peguam utama Wakil-Wakil Rakyat UPKO dan Pakatan Harapan (PH) Sabah yang memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak menuntut pelaksanaan pemberian semula 40% hasil persekutuan sepertimana dinyatakan dalam Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan.


“Pada 3 Jun yang lepas, Wakil-Wakil Rakyat PH Sabah telah memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak menuntut pelaksanaan Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan iaitu pemberian semula 40% hasil persekutuan di Sabah.


“Beliau adalah tulang belakang dan peguam utama dalam saman ini. Beliau turun naik mahkamah menuntut hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia mewakili Wakil-Wakil Rakyat PH Sabah dan mewakili Sabah.

“Alangkah baiknya jika beliau juga dapat turun naik di Parlimen atau DUN Sabah untuk menuntut hak-hak Sabah ini.


“Apabila beliau dicalonkan semula dalam pilihanraya akan datang samada di kerusi Parlimen atau kerusi DUN, saya berharap ahli-ahli parti di Beaufort dan Kuala Penyu dapat memberi kemenangan kepada beliau. Kita memerlukan pemimpin Sabah seperti Nelson di Parlimen dan DUN Sabah, wajar ada tempat untuk beliau di dewan undangan,” katanya.


Ewon berkata demikian ketika berucap pada mesyuarat agung tritahunan UPKO Bahagian Beaufort di sini, hari ini.


Nelson yang juga Setiausaha Agung UPKO mengekalkan jawatan Ketua Bahagian selepas menang tanpa bertanding dalam mesyuarat agung tritahunan parti bahagian tersebut.


Dalam mesyuarat agung tersebut juga, para perwakilan sebulat suara meluluskan usul agar UPKO diberi ruang bertanding di kerusi Parlimen Beaufort dalam pilihanraya umum ke-15 ini.

Tags:

bottom of page