NEW SABAH TIMES AKAN MENAMATKAN OPERASI, 31 DIS INI
- Wartawan Nabalu News
- Dec 10, 2020
- 1 min read

10 DIS 2020
KOTA KINABALU: Keputusan sudah dibuat untuk akhbar tertua di negeri ini, New Sabah Times (NST) akan menamatkan operasi pada 31 Disember ini.
Ketua Pengarang Bahasa Melayu NST Hj.Mohd Amin Hj Muin berkata, semua kakitangan diberi tempoh dua minggu untuk menandatangani atau tidak surat pemberhentian kerja hanya dengan bayaran tiga bulan gaji tidak termasuk gaji bulan Dis 2020.
Tiada pampasan akan dibayar, selain ehsan tiga bulan gaji termasuk untuk bayaran cuti yang belum diambil kerana syarikat mengalami kerugian besar sejak kebelakangan ini, kata Pemangku Pengarah Urusan New Sabah Times Felix Gusti.
Mereka yang tidak bersetuju dengan bayaran tiga bulan gaji boleh mengemukakan perkara ini kepada pihak berwajib seperti Jabatan Tenaga Rakyat.
Apa yang pasti katanya, NST memang tidak mempunyai dana untuk membayar pampasan.
Jika tidak ada perubahan lagi maka sahlah penerbitan akhbar New Sabah Times akan melabuhkan tirainya pada akhir bulan ini.
Amin berkata, selama 23 tahun bersama akhbar ini, memang banyak kenangan.
“Sebelum itu saya pernah berkhidmat dengan akhbar ini atas nama Kinabalu Sabah Times dan Sabah Times pada 1 Januari 1981 hingga 1987 sebelum berhijrah untuk bersama-sama mengasaskan penerbitan akhbar Borneo Mail (milik Parti Bersatu Sabah) pada tahun 1989 hingga Feb 1998.
“Penutupan akhbar yang diasaskan oleh bekas Ketua Menteri Sabah, Tun Fuad Stephens ini merupakan kali kedua kerana akhbar ini juga pernah menamatkan operasi pada 1985 selama hampir empat tahun semasa saya bertugas di Borneo Mail.

“Saya dan beberapa kakitangan Borneo Mail telah dipelawa bersama-sama rakan lain dari Daily Express untuk menghidupkan semula akhbar ini pada 1998 hinggalah ke hari ini,” katanya dalam perkongsian melalui Facebooknya, hari ini.
Amin berkata, ia adalah antara pengalaman beliau selama 39 tahun menjadi ‘orang akhbar’.















Comments