top of page

Niat menyelamat rakan bertukar tragedi di perairan Kudat

  • nabalunews
  • Aug 15, 2025
  • 1 min read

15 Ogos 2025


KUDAT: Seorang pekerja kapal penarik pasir maut manakala dua lagi terselamat selepas terlibat dalam insiden lemas di perairan Pantai Bangau, Sikuati berhampiran kilang SBH Kibing Silicon Materials (M) Sdn Bhd petang tadi.


Menurut Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, PBK II Rasidi Bin Sadai, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.46 petang daripada seorang pekerja syarikat berkenaan yang memaklumkan tiga pekerja telah hanyut di laut.


“Salah seorang mangsa terjatuh ketika membuat penyambungan tali jangkar yang putus akibat laut bergelora. Dua lagi pekerja terjun ke laut untuk cuba menyelamatkan mangsa, namun ketiga-tiga mereka tidak dapat naik semula ke kapal kerana keadaan ombak yang kuat,” katanya.


Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi pada jam 5.10 petang, pasukan bomba mendapati kesemua mangsa telah dihanyutkan ke tepi pantai sebelum berjaya diselamatkan.


“Seorang mangsa, Mohd Azman Bin Idris, 31, disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan KKM, manakala dua lagi mangsa, Muhammad Haseef Bin Abdul Rahman, 29, dan Aidil Adman Bin Said, 49, dilaporkan selamat dan menerima rawatan awal di lokasi kejadian,” jelasnya.


Mangsa yang meninggal dunia telah diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut, dan operasi ditamatkan pada jam 6.43 petang selepas memastikan tiada lagi risiko di kawasan tersebut.


Insiden berkenaan melibatkan kekuatan 12 anggota BBP Kudat dengan bantuan agensi lain termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), PDRM, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page