Niuhobo DC juara tarian kebudayaan etnik Sabah di Karnival 3K USHWANE 2024, bawa pulang RM3500
10 Disember 2024
PENAMPANG: Niuhobo DC diketuai Priscilla Petrus, dari Kota Kinabalu muncul johan pertandingan berkumpulan tarian kebudayaan etnik Sabah di Karnival Keunikan, Kesenian dan Kebudayaan, 3K yang pertama kali dianjurkan Persatuan Pembangunan Usahawan Wanita Luar Bandar Sabah (USHWANE) selama dua hari di Buhavan Square, Donggongon.
Persembahan Niuhobo DC yang bertajuk Lumangkit bercirikan kebudayaan tradisi etnik Suang Lotud menambat hati juri untuk membolehkannya muncul juara dan membawa pulang hadiah wang tunai RM3,500 beserta medical cash voucher dari KPJ bernilai RM1,500 piala dan hamper.
Manakala tempat kedua dimenangi kumpulan Semenang Tari dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Narinang, Kota Belud dengan persembahan bertajuk Magarambatu yang diadaptasi dari tarian tradisi etnik Dusun Tindal di Kampung Sayap, Kota Belud, dikenali tarian Siri Siri.
Kumpulan Semenang Tari memenangi hadiah wang tunai RM2,500 piala dan hamper.
Tempat ketiga dimenangi Kumpulan Kaizen dari Kota Kinabalu dengan persembahan bertajuk Lumalau atau menjalar yang menerima mengenai sebuah pohon yang menjadi lambang perpaduan yang diolah berdasarkan tarian tradisi Sumayau etnik Lotud, Tuaran olahan koreografer Mazagi. RM1500 piala dan hamper
Sebelum itu, 3 kumpulan terbaik yang berjaya ke peringkat akhir, mempersembahkan tarian mereka di majlis perasmian penutupan Karnival 3K USHWANE di Buhavan Square di hadapan ribuan tetamu yang hadir termasuk Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Khairul Firdaus Akbar Khan, Ahli Parlimen Penampang yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, Presiden Majlis Perbandaran Penampang, Francis Chong dan Penasihat Kehormat Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Moyog, merangkap Ahli Majlis Tertinggi Parti Gagasan Rakyat Sabah, Datuk John Ambrose serta Presiden Persatuan Pelancongan Penampang, Ben Golimbi.
Juri menilai persembahan tarian berdasarkan keaslian budaya, kreativiti dan persembahan elemen tradisional yang selari dengan tema tarian.
Juri pertandingan berkumpulan tarian kebudayaan etnik Sabah terdiri daripada koreografer dan penggiat seni berpengalaman yang pernah mencipta kejayaan di pelbagai pertandingan tarian di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
Mereka adalah Riziana John, seorang penari, koreografer dan pengiat seni, Ahmin Amisani, seorang koreografer dan jurulatih seni, dan jurulatih tari ko-kurikulum di Unit Kebudayaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sabah.
Ketua Juri, Mohd Soffriezan Yahya, Pengurus Pusat Kebudayaan Murut Sabah, Tenom, Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah yang pernah muncul sebagai koreografer terbaik di pelbagai pertandingan tarian peringkat negeri dan kebangsaan.
Pertandingan berkumpulan tarian kebudayaan etnik Sabah di Karnival 3K USHWANE bertujuan untuk mempromosikan warisan budaya tempatan Sabah dengan sentuhan kreatif sambil memberi peluang kepada bakat tari tempatan untuk menyerlahkan bakat mereka.
Comments