Noktahkan kemiskinan melalui pembangunan keusahawanan agenda KUSKOP seiring wawasan PM - Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Noktahkan kemiskinan melalui pembangunan keusahawanan agenda KUSKOP seiring wawasan PM - Ewon


9 Ogos 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA TERENGGANU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, usaha untuk menoktahkan kemiskinan melalui pembangunan keusahawanan adalah agenda kementeriannya seiring dengan wawasan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Ewon yakin melalui pelbagai program pembangunan keusahawanan yang dilaksanakan agensi-agensi dibawah  kementeriannya termasuk Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) matlamat menoktahkan kemiskinan dapat dicapai.


“Pembangunan keusahawanan penting kerana kekuatan ekonomi berupaya mengeluarkan masyarakat daripada kemiskinan seterusnya membantu anak-anak belajar sehingga universiti dan kembali semula kepada keluarga dan negara untuk berkhidmat sebagai warganegara Malaysia yang berkualiti.

“Inilah wawasan PM yang beliau kongsikan kepada semua ahli jemaah menteri. Saya sangat berterima kasih apabila AIM diwartakan sebagai agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia kerana kami di kementerian berpeluang bekerjasama dengan beliau (PM) untuk mebangunkan usahawan-usahawan wanita melalui AIM,” katanya.


Ewon berkata demikian ketika berucap pada Karnival Sahabat Usahawan AIM Wilayah Terengganu, yang dirasmikan Perdana Menteri, di sini, hari ini.


Sehubungan itu Ewon yakin, Belanjawan Malaysia Madani tahun hadapan yang bakal dibentangkan Perdana Menteri pada Oktober ini akan memberi harapan besar kepada Sahabat AIM di seluruh negara.

“Saya amat yakin pada bulan Oktober ini semasa pembentangan Belanjawan Malaysia Madani tahun hadapan Yang Amat Berhormat  Perdana Menteri akan memberikan sesuatu yang besar kepada Sahabat-Sahabat AIM supaya kita boleh menoktahkan kemiskikan melalui Pembangunan keusahawanan.


“Datuk Seri (Anwar Ibrahim) selaku PM setiap minggu mengadakan mesyuarat kabinet, setiap bulan bermesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), mempengerusikan pelbagai mesyuarat jawatankuasa khas kabinet, membincangkan tentang pembangunan ekonomi negara kita,” katanya.


Ewon berkata, sebagai anak seorang ibu tunggal yang juga peniaga kecil-kecilan di tamu-tamu di Sabah, beliau sangat memahami perjuangan dan pengorbanan Sahabat AIM yang terdiri daripada wanita.

Ewon melawat pameran usahawan-usahawan AIM.

“Kita memerlukan pemimpin yang memahami situasi ini, kita memerlukan Perdana Menteri (Anwar) sebagai ketua kerajaan yang memahami situasi ini yang juga telah mencetuskan penubuhan AIM suatu ketika dahulu dan hari ini mahu meneruskan pembelaan kepada wanita wanita melalui AIM,” katanya.

bottom of page