top of page

Nor Farah, Asnawi Dinobat Olahragawati, Olahragawan Negeri Sabah 2023-2024

  • nabalunews
  • Feb 9
  • 2 min read

Tun Musa dan Toh Puan Faridah bergambar kenangan bersama-mama jemputan khas dan pengurusan tertinggi KBSK sejurus tiba di lokasi majlis.
Tun Musa dan Toh Puan Faridah bergambar kenangan bersama-mama jemputan khas dan pengurusan tertinggi KBSK sejurus tiba di lokasi majlis.

9 Februari 2026


KOTA KINABALU: Atlet pencak silat, Nor Farah Mazlan dan atlet pelayaran, Muhammad Asnawi Iqbal Adam masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawati dan Olahragawan Negeri Sabah.


Panel penilai memilih Nor Farah, 28, yang berasal dari Kota Belud diatas pencapaian membanggakan apabila muncul juara Sukan SEA 2023 di Kemboja, juara Kejohanan Asia 2023 di Dubai serta juara dunia 2024 di Abu Dhabi, sekali gus mengharumkan nama Sabah dan Malaysia di persada antarabangsa.


Sementara itu, Anugerah Olahragawan Negeri Sabah 2023–2024 dikalungkan kepada atlet sukan pelayaran, Muhammad Asnawi Iqbal Adam, 20, berasal dari Kota Kinabalu.

Beliau mencatat kejayaan cemerlang di peringkat antarabangsa dengan memenangi pingat gangsa pada Sukan SEA 2023 di Kemboja serta pingat gangsa Sukan Asia 2024 di Hangzhou, China, selain memenangi pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024.


Pada majlis sama, Anugerah Tokoh Sukan Negeri Sabah disampaikan kepada Datuk Roslie Ibrahim atas sumbangan dan kepimpinan beliau dalam pembangunan sukan sepak takraw di negeri ini.


Tiga anugerah tertinggi tersebut telah disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman sempena Majlis Anugerah Sukan Negeri Sabah Ke-17 (2023-2024) yang diadakan di sini, pada Jumaat.

Sementara itu Anugerah Kepimpinan Sukan Negeri Sabah, Anugerah Olahragawan Para Negeri Sabah dan Anugerah Olahragawati Para Negeri Sabah pula disampaikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.


Anugerah Olahragawati Para Negeri Sabah diterima oleh Brenda Anellia Larry dari sukan para renang, manakala Anugerah Olahragawan Para disampaikan kepada Eddy Bernard dari sukan para olahraga.


Anugerah Kepimpinan Sukan pula dianugerahkan kepada Spencer Soo Kok Heng atas peranan aktif beliau memajukan Persatuan Sukan Orang Pekak Sabah.

Dalam kategori harapan, Anugerah Olahragawati Harapan disampaikan kepada Eva Anatasia Warren, manakala Anugerah Olahragawan Harapan diterima oleh Jaethan Jonathan Quan, kedua-duanya dari sukan Muay Thai.


Anugerah Persatuan Sukan Terbaik Negeri pula dimenangi oleh Persatuan Muaythai Negeri Sabah, manakala Anugerah Khas diberikan kepada Chong Man Kuen, Borneo Samudera Sdn Bhd, Sabah Softwood Berhad dan Jetama Sdn Bhd atas sokongan berterusan terhadap pembangunan sukan negeri.


Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif (KBSK), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Turut menyampaikan anugerah kepada para penerima ialah Pembantu Menteri KBSK, Dr Anil Sandhu yang menyampaikan hadiah bagi kategori Anugerah Berpasukan Lelaki Terbaik, Anugerah Berpasukan Wanita Terbaik, Anugerah Jurulatih Sukan Lelaki Terbaik, Anugerah Jurulatih Sukan Wanita Terbaik serta Anugerah Wartawan Sukan (Akhbar) dan Anugerah Wartawan Sukan Multimedia.


Kategori berpasukan menyaksikan Sabah FA muncul penerima Anugerah Berpasukan Wanita Terbaik menerusi pasukan bola sepak wanita negeri, sementara Anugerah Berpasukan Lelaki Terbaik dimenangi oleh Pasukan Sepak Takraw Lelaki Sabah.


Bagi kategori jurulatih pula, Anugerah Jurulatih Sukan Wanita Terbaik disampaikan kepada Wong Hie Ming (Para Renang), manakala Anugerah Jurulatih Sukan Lelaki Terbaik diterima oleh Arif Mulis (Pencak Silat).


Turut diberi pengiktirafan adalah penglibatan dan sumbangan para pengamal media dalam menyampaikan maklumat, menerbitkan laporan-laporan khas berkenaan keperitan dan pencapaian atlet serta pembangunan kemudahan sukan bagi meningkatkan lagi mutu sukan negeri ini.


Anugerah bagi Wartawan Sukan (Akhbar) diberikan kepada wartawan Daily Express, Oh Genng Lumanakala Anugerah Sukan Multimedia diberikan kepada wartawan muda Mohd Syaffif Syahran Danny dari RTM./Penerangan-

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page