Norfadzlina fokus pembangunan Labuk berteras agenda ‘Sabah First’
- nabalunews
- Nov 18
- 2 min read

18 November 2025
KOTA KINABALU: Calon Pertubuhan Kinabalu Bersatu (UPKO) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Labuk, Norfadzlina Ramsah, menggariskan lapan dasar utama dalam manifestonya sebagai komitmen untuk membina Labuk yang lebih maju dan progresif berteraskan agenda ‘Sabah First’.
Norfadzlina berkata dasar tersebut akan membawa pembangunan yang lebih terancang dan berpaksikan rakyat merangkumi infrastruktur, komuniti, pendidikan dan ekonomi.
“Antara tumpuan utama ialah meningkatkan penglibatan belia dalam perancangan pembangunan Labuk, membangunkan infrastruktur asas, memperkasa komuniti termasuk kesejahteraan rohani, serta memastikan akses pendidikan yang lebih baik.

“Selain itu, tumpuan terhadap kebajikan keluarga dan sokongan ekonomi, pemerkasaan belia dan wanita, pembangunan keusahawanan bagi menjayakan ekonomi keluarga mampan, serta pembangunan pelancongan sebagai pemangkin ekonomi baharu di kawasan ini,” katanya.
Sementara itu, Norfadzlina yang juga pengasas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Beluran Hope, menyifatkan penyertaannya dalam politik sebagai langkah berani untuk membawa suara akar umbi dan impak perubahan bukan sahaja kepada Labuk, malah Sabah secara keseluruhannya.
Mengulas mengenai perjuangan agenda Sabah First, Norfadzlina berkata sudah tiba masanya untuk Sabah untuk mengubah corak pentadbiran negeri kepada kepimpinan tempatan.
“Saya membawa semangat patriotik seluruh rakyat Sabah untuk mengubah demografik dan corak politik Sabah mengikut formula Sarawak iaitu kepimpinan secara menyeluruh dipegang oleh orang Sabah sendiri.
“Dan inilah perjuangan yang diletakkan oleh UPKO ke bahu saya. Saya adalah seorang aktivis yang sentiasa menyuarakan suara rakyat melalui apa pun ruang dan peluang yang ada.
“Besar harapan saya untuk mendapatkan platform yang lebih besar dan memberi impak perubahan yang lebih besar sama ada kepada Labuk mahupun Sabah,” katanya.
DUN Labuk menyaksikan pertandingan lapan penjuru termasuk UPKO, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Perikatan Nasional (PN), Parti Kerjasama Anak Negeri (Anak Negeri), Parti Impian Sabah (PIS), Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Barisan Nasional (BN), dan Parti Warisan.


















Comments