top of page
nabalunews

OCBC Al-Amin Berhad tambah baik premis Persatuan Bagi Orang-Orang Pekak Sabah



Wakil OCBC Al-Amin bersama pelajar dan pihak pengurusan Persatuan Bagi Orang-Orang Pekak Sabah Cawangan Sandakan.

24 Oktober 2024


SANDAKAN: OCBC Al-Amin Bank Berhad baru-baru ini telah menyumbangkan RM20,000 kepada Persatuan Bagi Orang-Orang Pekak Sabah Cawangan Sandakan.


Sumbangan tersebut bertujuan meningkatkan suasana pembelajaran yang lebih kondusif melalui kerja-kerja baik pulih premis dengan menggunakan cat mesra alam serta pemasangan lampu LED yang menjimatkan tenaga dan mesra alam.


Inisiatif ini bukan sahaja membantu melindungi alam sekitar, tetapi juga mengurangkan kos bil elektrik.


Selain itu, bank turut menyediakan kemudahan lain seperti penyaman udara yang lebih efisien, langsir tingkap yang bersesuaian, kipas berdiri, serta kabinet kasut untuk kegunaan harian.


Bahan pembelajaran baharu, termasuk alat tulis dan peralatan pusat sumber, juga disumbangkan bagi menyokong proses pembelajaran para pelajar di pusat tersebut.


Semasa program tersebut, OCBC Al-Amin turut mengambil peluang untuk berkongsi pengetahuan mengenai amalan penyimpanan kewangan yang baik.


Bank itu juga memberi kesedaran kepada komuniti mengenai bahaya penipuan kewangan atau scam yang kian berleluasa.


Pengerusi Persatuan Bagi Orang-Orang Pekak Sabah Cawangan Sandakan, Chong Moi Fong @ Winnie Chong, melahirkan rasa penghargaan terhadap sumbangan bank yang sangat bermakna dan tepat pada masanya.


Beliau menjelaskan bahawa usaha baik pulih ini adalah antara matlamat persatuan dalam memastikan persekitaran pembelajaran yang lebih lestari dan mesra alam, selain mengurangkan penggunaan elektrik secara signifikan.


Jurucakap OCBC Al-Amin Berhad, yang juga Pengurus Kanan Cawangan Sandakan, Loh Shiau Hung, berkata pihak bank komited untuk melibatkan diri dengan masyarakat setempat.


Menurut beliau, pihak bank sentiasa menilai keperluan masyarakat di kawasan operasinya dan berusaha memenuhinya demi kebaikan jangka panjang.


Beliau berharap sumbangan ini dapat memberi manfaat kepada para pelajar di pusat tersebut, yang telah beroperasi selama 34 tahun.

Komen


bottom of page