Op Noda, Penjaga Premis Hiburan Ditahan
- nabalunews
- Jul 18, 2025
- 1 min read

18 Julai 2025
PENAMPANG: Seorang lelaki yang bekerja sebagai penjaga sebuah premis hiburan di New World Commercial Centre, di sini, ditahan selepas didapati beroperasi tanpa lesen sah.
Operasi Op Noda / Pusat Hiburan yang dilaksanakan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang itu turut mendapati premis berkenaan beroperasi lebih masa.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, hasil serbuan, pihak polis menahan seorang remaja berusia 18 tahun iaitu penjaga premis berkenaan.
Katanya, pasukan operasi terus bertindak merampas pelbagai peralatan muzik milik premis untuk tindakan selanjutnya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 3 dan Seksyen 4, Ordinan Hiburan Awam 1958 kerana menjalankan perniagaan hiburan awam tanpa lesen dan melebihi masa yang ditetapkan.
“Tangkapan bersama barang rampasan yang terlibat terus dibawa ke IPD Penampang untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, pihak polis akan terus menjalankan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan dari semasa ke semasa.
Katanya, ia bagi memastikan semua pengusaha premis hiburan mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
“Pihak polis turut menasihatkan semua pengusaha premis hiburan di daerah ini agar mendapatkan lesen hiburan awam yang sah serta tidak menjalankan aktiviti melebihi masa operasi yang ditetapkan.
“IPD Penampang akan terus komited untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara melalui tindakan penguatkuasaan yang berterusan,” katanya.















Comments