Op Selamat 24: Polis fokus enam kesalahan trafik utama
- nabalunews
- Mar 29
- 1 min read

29 Mac 2025
KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) memberi tumpuan kepada enam kesalahan utama jalan raya dalam Op Selamat 24 yang bermula pada hari ini sehingga 3 April depan.
Dalam kenyataan JSPT IPK Sabah menegaskan, kesalahan ini dikenal pasti menjadi penyumbang kepada kemalangan jalan raya sepanjang musim perayaan.
Katanya, enam kesalahan itu termasuk memandu melebihi had laju, tidak mematuhi lampu isyarat serta memandu di lorong kecemasan.
"Tiga kesalahan lain ialah memotong di garisan berkembar, memotong barisan 'Q', serta menggunakan alat komunikasi semasa memandu.
"Pengguna jalan raya diminta untuk mematuhi peraturan dan undang-undang demi menjamin keselamatan bersama," katanya.
Terdahulu, Pengarah JSPT Bukit Aman, Dato' Sri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, seramai 6,957 pegawai dan anggota trafik ditugaskan di seluruh negara bagi tujuan pemantauan sepanjang OP Selamat 24.
Menurutnya, sebanyak 46 lokasi 'blackspot' serta 25 lokasi 'hotspot' iaitu kawasan kerap berlaku kemalangan maut dan kesesakan lalu lintas di seluruh negara telah dikenal pasti dan pemantauan berterusan akan dilakukan.
Comments