Operasi Bersepadu ESSCOM: 165 Notis Keluar, 28 Warga Asing Tanpa Dokumen Ditahan
- nabalunews
- Apr 2
- 2 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
2 April 2026
SEMPORNA: Pasukan Keselamatan Kawasan Timur Sabah (ESSCOM) menamatkan satu operasi bersepadu dua hari di daerah Semporna dengan nilai kompaun dan rampasan melebihi RM680,000. Seramai 28 warga asing tanpa izin tinggal (PATI) turut ditahan sepanjang operasi yang berlangsung dari 1 hingga 2 April 2026.
Sebanyak 165 notis serta kompaun dikeluarkan oleh pelbagai jabatan dan agensi penguat kuasa. Kesalahan membabitkan lesen perniagaan, status imigresen, pekerjaan, kastam, serta hidupan liar.
Tinjauan dilakukan ke atas 40 lokasi termasuk resort, premis perniagaan, kawasan perairan, petempatan setinggan, dan kampung di sekitar Semporna. Seramai 269 pegawai keselamatan dan penguat kuasa terlibat dalam operasi ini.

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memeriksa 38 individu, di mana 28 daripadanya gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah. Mereka ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Jabatan Tenaga Kerja (JTK) mengeluarkan 32 kompaun di bawah Akta Kerja 1955 berhubung pelanggaran syarat pekerjaan. Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengenakan sembilan kompaun di bawah Akta Syarikat 2016.
Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) mengeluarkan lapan notis, manakala Majlis Daerah Semporna (MDS) mengeluarkan 33 kompaun terhadap perniagaan tanpa lesen dan pelanggaran syarat operasi premis.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengeluarkan 49 notis berkaitan kegagalan menyediakan sistem keselamatan kebakaran. Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas minuman keras tanpa lesen bernilai RM11,642.19 (termasuk cukai).
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengeluarkan tujuh kompaun berkaitan kawalan bekalan dan perlindungan pengguna. Jabatan Hidupan Liar Sabah merampas daging babi, kura-kura, dan burung murai bernilai RM1,300 kerana disyaki melanggar Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Sabah 1997.
Jabatan Perikanan Sabah turut mengambil tindakan terhadap kesalahan aktiviti perikanan termasuk rampasan alat tangkap ikan. Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mengeluarkan 18 kompaun terhadap majikan yang gagal mendaftar pekerja di bawah undang-undang keselamatan sosial.
Komander ESSCOM, Deputi Komisioner Polis (DCP) Datuk Victor Sanjos berkata, kejayaan operasi ini menunjukkan komitmen berterusan semua agensi dalam memperkukuh penguatkuasaan undang-undang demi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di Zon Selamat Timur Sabah (ESS Zone).
Beliau menegaskan operasi bersepadu seumpama ini akan terus dipertingkatkan mengikut konsep “Tiada Hari Tanpa Operasi” bagi membendung jenayah rentas sempadan dan aktiviti haram.
Orang awam diminta menyalurkan maklumat berkaitan insiden keselamatan ke Pusat Operasi ESSCOM bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan segera.















Comments