Operasi Bersepadu Rampas Balak Haram Bernilai Puluhan Juta di Keningau

Oleh: Romie Stanley DGuns
18 Mac 2026
KENINGAU: Pasukan keselamatan bersama Jabatan Perhutanan Sabah membongkar kegiatan pembalakan haram dan merampas kayu balak serta jentera bernilai puluhan juta ringgit dalam satu operasi bersepadu di kawasan pedalaman Keningau, semalam.
Seorang lelaki tempatan turut ditahan bagi membantu siasatan berhubung kegiatan pengumpulan kayu balak yang dipercayai tidak mematuhi peraturan perhutanan itu.
Menurut sumber pihak berkuasa, Operasi Sawmill yang dijalankan pada 17 Mac itu melibatkan Cawangan Risik dan Task Force Batalion 21 Pasukan Gerakan Am (PGA) Keningau, bersama Jabatan Perhutanan Sabah Cawangan Sook.

Hasil risikan dan pemeriksaan di lokasi mendapati kawasan berkenaan dijadikan tempat pengumpulan kayu balak pelbagai jenis yang disyaki terlibat dengan aktiviti pembalakan haram.
Antara kesalahan yang dikesan termasuk ketiadaan nombor siri balak, Property Hammer Mark (PHM), serta ketiadaan tanda tukul rasmi Jabatan Perhutanan pada batang-batang kayu yang ditemui.
Dalam serbuan tersebut, pihak berkuasa menyita sejumlah besar kayu balak pelbagai jenis, selain beberapa unit kenderaan dan jentera berat yang dipercayai digunakan untuk mengangkut dan memproses hasil hutan secara haram.

Kesemua rampasan yang dianggarkan bernilai puluhan juta ringgit itu kini diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Sabah untuk tindakan lanjut.
Pihak berkuasa menegaskan komitmen untuk mempergiatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan pembalakan haram yang boleh mengancam kelestarian hutan di Sabah. Kes disiasat mengikut akta dan undang-undang perhutanan yang berkuat kuasa.















Comments