Operasi SAR Hari Kedua Lelaki Hilang di Hutan Beluran Diteruskan

22 Ogos 2025
BELURAN: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi seorang lelaki yang dilaporkan hilang di hutan Kampung Bukit Besi, Beluran sejak tiga hari lalu diteruskan masuk hari kedua hari ini namun mangsa masih belum ditemui.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran menerima panggilan kecemasan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran pada 20 Ogos jam 8.41 pagi memaklumkan mengenai insiden tersebut.
“Kawalan Balai Beluran terima panggilan kecemasan dari IPD Beluran, terdapat seorang mangsa lelaki dilaporkan hilang di hutan di alamat Kampung Bukit Besi, Beluran.
“Menurut laporan polis yang dibuat oleh pengadu (isteri mangsa), mangsa telah pergi ke kebun miliknya sekitar jam 6:00 pagi pada 18 Ogos lalu jarak 500 meter dari rumahnya bertempat di Kampung Bukit Besi dan sehingga sekarang mangsa tidak pulang ke rumah,” menurut kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, usaha mencari telah dijalankan oleh ketua kampung dan penduduk pada 19 Ogos bermula jam 10 pagi hingga 3 petang, namun gagal menemui mangsa.
Bagi operasi SAR hari kedua pada 21 Ogos, pencarian dimulakan pada jam 10 pagi melibatkan pasukan bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta penduduk kampung.
“Pasukan Bomba bersama agensi penyelamat lain dan penduduk kampung meneruskan operasi pencarian di sekitar kawasan kebun mangsa. Mangsa belum dijumpai. Operasi ditangguhkan pada jam 17:00:00 dan akan disambung esok pagi. Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” jelas kenyataan itu lagi.
Mangsa dikenal pasti sebagai Jusli Kiple, berusia 48 tahun dan sehingga kini statusnya masih belum ditemui.















Comments