top of page

Operator STRA diarah mohon lesen operasi sah

  • nabalunews
  • May 7
  • 1 min read


7 Mei 2025


KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengarahkan semua operator premis penginapan jangka pendek (STRA) atau Air BnB agar memohon lesen operasi sah selaras dengan Undang-undang Kecil Bandaraya Kota Kinabalu (Hotel dan Rumah Lojing) 1966.


DBKK dalam kenyataan memaklumkan, arahan itu dikeluarkan susulan satu operasi khas yang dijalankan oleh Jabatan Pelesenan DBKK dari 16 hingga 30 April lalu bagi mengesan serta menyampaikan notis peringatan kepada pengusaha STRA di sekitar bandar raya.


“Tujuan operasi ini adalah untuk memberi kesedaran dan peringatan kepada operator STRA agar mengisytiharkan aktiviti perniagaan mereka serta memohon lesen operasi seperti ditetapkan dalam undang-undang kecil yang berkuat kuasa,”menurut kenyataan itu.


Menurut DBKK, sepanjang tempoh operasi, sebanyak 319 premis hotel dan rumah lojing telah diperiksa, dan 207 notis telah dikeluarkan kepada pengusaha premis di beberapa lokasi bangunan komersil.


Katanya, notis tersebut disampaikan menerusi pelbagai saluran termasuk surat, panggilan telefon, serta pertemuan secara bersemuka.


“Pihak DBKK akan meneruskan usaha bagi memeriksa dan mengesan premis STRA di sekitar bandar raya yang beroperasi tanpa lesen yang sah.


“Operator yang gagal mendapatkan lesen operasi sah boleh dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang berkaitan,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page