OPR kekal pada 3 peratus
top of page
  • Wartawan Nabalu News

OPR kekal pada 3 peratus



2 Nov 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus.


Menurut kenyataan BNM, keputusan ini dibuat berdasarkan penilaian terhadap prospek pertumbuhan dan inflasi ekonomi Malaysia.


“Pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari terus menyokong ekonomi dan konsisten dengan penilaian semasa berhubung dengan prospek pertumbuhan dan inflasi.


"MPC kekal berwaspada terhadap perkembangan semasa bagi memaklumkan penilaian prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.MPC akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil," katanya dalam Pernyataan Dasar Monetari, hari ini.


Kadar penanda aras yang menjadi rujukan kadar pinjaman dan deposit di Malaysia itu dikekalkan selepas kenaikan pertama bagi 2023 diumumkan Mei lalu sebanyak 25 mata asas kepada 3 peratus.


Pada Januari sehingga Mac 2023, OPR dikekalkan pada kadar 2.75 peratus selepas empat kenaikan berturut-turut bermula Mei, Julai, September dan November 2022, dengan masing-masing meningkat 25 mata asas kepada 2.75 peratus berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus sebelumnya.


"Ekonomi global terus berkembang, didorong oleh permintaan dalam negeri berikutan sokongan keadaan pasaran pekerja yang teguh.


“Sektor elektrik dan elektronik (E&E) mula menunjukkan beberapa tanda pemulihan namun perdagangan global terus lemah, sebahagiannya disebabkan oleh peralihan perbelanjaan daripada barangan kepada perkhidmatan dan sekatan perdagangan yang berterusan," katanya.


"Pertumbuhan guna tenaga dan upah yang berterusan terus menyokong perbelanjaan isi rumah. Ketibaan dan perbelanjaan pelancong dijangka terus meningkat. Aktiviti pelaburan akan disokong oleh projek infrastruktur berbilang tahun yang terus dilaksanakan serta pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah beberapa pelan induk nasional. Langkah-langkah di bawah Belanjawan 2024 juga akan memberikan dorongan tambahan kepada kegiatan ekonomi," jelasnya.


Jelas BNM, inflasi keseluruhan dan inflasi teras telah menjadi sederhana disebabkan terutamanya oleh tekanan kos yang semakin reda dan dijangka kekal sederhana menjelang tahun 2024.


"Risiko terhadap prospek inflasi terus sangat dipengaruhi oleh perubahan dasar dalam negeri mengenai subsidi dan kawalan harga serta perkembangan harga komoditi dan pasaran kewangan global. Yang penting, hasrat Kerajaan untuk mengkaji semula kawalan harga dan subsidi pada tahun 2024 akan mempengaruhi prospek keadaan inflasi dan permintaan," ujarnya.


BNM juga menyatakan bahawa jangkaan persekitaran kadar faedah yang lebih tinggi untuk jangka masa yang lebih lama di AS serta kebimbangan yang meningkat berhubung dengan ketegangan geopolitik yang semakin meruncing telah menyumbang kepada dolar AS yang terus kukuh.


"Keadaan ini telah mempengaruhi mata wang negara maju dan negara sedang pesat membangun lain, termasuk ringgit. Walau bagaimanapun, perkembangan ini dijangka tidak menjejaskan prospek pertumbuhan Malaysia. Bank Negara Malaysia akan terus menguruskan risiko volatiliti yang ketara, termasuk menyediakan mudah tunai, bagi memastikan pasaran pertukaran asing domestik dapat berfungsi dengan teratur," katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page