Ops bersepadu cegah jenayah tingkat rasa selamat penduduk Penampang
- nabalunews
- Apr 12
- 1 min read

12 April 2025
PENAMPANG: Usaha membanteras jenayah terus dipergiat apabila Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang melaksanakan Operasi Bersepadu Mencegah Jenayah (OBMJ) secara besar-besaran malam tadi, melibatkan rondaan di kawasan hotspot, pemeriksaan premis hiburan dan sekatan jalan raya.
“Objektif utama OBMJ ini diadakan adalah bagi menunjukkan kehadiran polis (omnipresence) di kawasan-kawasan hotspot dan tumpuan orang ramai yang secara tidak langsung dapat mengurangkan potensi berlakunya jenayah di kawasan yang terlibat,” menurut kenyataan IPD Penampang menerusi satu perkongsian di Facebook.
Operasi tersebut diketuai oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, DSP Erwansyah Abd Basir, bersama lapan pegawai kanan polis dan 36 anggota lain-lain pangkat.
Satu sekatan jalan raya telah didirikan di Jalan Pintas Penampang dan dua lokasi lain turut diadakan pemeriksaan mengejut (snap check). Rondaan turut dilakukan di taman-taman perumahan dan kampung-kampung untuk membendung kes pecah rumah dan kecurian kenderaan.
Turut diadakan ialah rondaan bersama Pasukan Skim Rondaan Sukarela (SRS) Taman Malakun, Penampang dan SRS Kampung Terawi, Putatan bagi menyokong peranan komuniti dalam membanteras jenayah.
Polis juga menjalankan pemeriksaan dan pemantauan terhadap premis-premis hiburan sekitar daerah Putatan dan Penampang.
“Selain daripada pencegahan jenayah, operasi seumpama ini adalah sebagai medium pihak polis mendekati masyarakat setempat dalam memudahkan penyampaian dan perkongsian maklumat jenayah di kawasan serta persepsi ‘fear of crime’.”
“Secara keseluruhan seramai 24 lelaki serta 12 perempuan telah diperiksa dan sembilan (9) keping saman atas pelbagai kesalahan hasil pemeriksaan di sekatan jalan raya,” kata Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton.
Beliau menegaskan bahawa operasi seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi meningkatkan rasa selamat dalam kalangan masyarakat.
Comments