Ops Gegar Tahan 14 Warga Asing
- nabalunews
- Mar 14
- 2 min read

14 Mac 2025
KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menahan 14 warga asing dalam serbuan di dua premis refleksologi dan spa di bandaraya ini, malam Khamis.
Operasi selama empat jam bermula 8 malam itu, menumpukan usaha penguatkuasaan dalam menangani kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) serta membanteras aktiviti penggajian warga asing tanpa dokumen yang sah.
Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, operasi menyasarkan premis yang disyaki menjalankan aktiviti perniagaan dengan menggunakan tenaga kerja asing tanpa dokumen yang sah, hasil risikan intensif serta aduan awam.

Katanya, hasil serbuan di lokasi pertama membawa kepada penahanan 10 warga asing terdiri daripada tiga dan tujuh wanita.
“Manakala serbuan di lokasi kedua berjaya menahan empat individu iaitu tiga wanita warganegara China dan satu wanita Filipina.
“Selain itu, seorang majikan warga tempatan turut ditahan selepas disyaki menggaji pekerja asing tanpa permit yang sah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

SH Sitti Saleha berkata, bagi melengkapkan siasatan, beberapa barangan turut dirampas sepanjang operasi ini termasuk lesen perniagaan, wang tunai sebanyak RM1,464 bersama buku log operasi perniagaan serta penanda magnet.
Katanya, semua individu yang ditahan dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa Kota Kinabalu untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu salah guna pas yang dikeluarkan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah.
Sehubungan itu, SH Sitti Saleha menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti PATI atau mana-mana premis yang menggaji warga asing secara tidak sah tampil menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.
Katanya, operasi penguatkuasaan akan dilaksanakan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan memindah warganegara asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara.
“Jabatan Imigresen Malaysia akan terus memainkan peranan dalam menjamin kedaulatan dan keselamatan negara dengan memastikan hanya individu yang mematuhi undang- undang imigresen dibenarkan bekerja dan menetap di Malaysia,” katanya.
Tamat
Comments