top of page

Ops Imigresen, 12 rakyat asing ditahan di premis hiburan di Sandakan

  • nabalunews
  • Oct 30, 2024
  • 2 min read

29 Oktober 2024


SANDAKAN: Seramai 11 wanita warga asing yang disyaki bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di sini, tengah malam tadi.


Serbuan menerusi Ops Gegar ini turut menahan dua lelaki termasuk seorang warga Vietnam.


Operasi yang bermula pada jam 11.24 malam dan berakhir pada jam 12.18 tengah malam ini melibatkan 13 pegawai dari Bahagian Penguatkuasa Ibu Pejabat Imigresen Kota Kinabalu dan Pejabat Imigresen Sandakan.


Pengarah Imigresen Malaysia Negeri Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata tindakan penguatkuasaan ini diambil susulan daripada aduan awam berhubung warga asing yang dipercayai tiada dokumen pengenalan diri dan menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja di premis hiburan terbabit.


Katanya semasa operasi dijalankan, didapati beberapa warga asing disyaki sedang bekerja dan dilihat sedang menunggu pelanggan di dalam bilik pusat hiburan tersebut.


"Dalam operasi ini seramai 35 orang telah diperiksa dan 12 orang warga asing telah ditahan atas kesalahan tiada dokumen pengenalan diri mengikut seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.


"Tahanan terdiri daripada warganegara Filipina (3 perempuan) dan warganegara Vietnam (1 lelaki) serta (8 perempuan) dan semua tahanan berumur di antara 15 tahun hingga 38 tahun," katanya dalam kenyataan media hari ini.


Saleha berkata mereka ditempatkan di Depot Imigresen Sandakan untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.


Turut ditahan seorang rakyat tempatan berumur 53 tahun kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55E dan Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63.


"JIM mengingatkan orang ramai dan majikan supaya tidak melindungi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) atau terpaksa berhadapan dengan tindakan undang-undang.


"Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang PATI atau sebarang maklumat yang boleh membantu JIM dalam melaksanakan penguatkuasaan supaya tampil menyalurkan maklumat," katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page